HANOI – Sebuah syarikat perlombongan arang batu di wilayah Quang Ninh memberikan ikan kerapu percuma sebagai hadiah Tahun Baru Vietnam kepada 3,700 pekerjanya, lapor portal berita tuoi tre news kelmarin.
Firma itu juga menawarkan bonus kepada mereka untuk meraikan kedatangan tahun baru itu pada Februari ini.
Ia membelanjakan hampir 5 bilion dong (RM967,560) untuk membeli 18 tan ikan kerapu segar bagi menghargai para pekerjanya.
Setiap pekerja firma itu akan menerima 5 kilogram ikan kerapu segar, bonus 13 bulan berjumlah 13 juta dong (RM2,515) dan beberapa hadiah lain sempena Tahun Baru Vietnam.
Beberapa firma lain yang berpangkalan di Quang Ninh turut memberikan hadiah ikan kerapu kepada para pekerjanya menjelang tahun baru itu. – AGENSI