MERSING – Seramai lapan nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Mersing selepas didapati positif dadah di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Sungai Endau di sini, kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, semua nelayan tersebut yang ditahan menerusi operasi bersepadu itu berusia antara 23 hingga 50 tahun.
“Lapan individu terbabit adalah antara kru tiga buah bot nelayan tempatan yang terdiri 12 warganegara Indonesia dan tiga warga tempatan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kru bot berkenaan turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah.
“Ujian air kencing ke atas kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Suhaizan berkata, kesemua suspek kemudian dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/1963 serta Akta Perikanan 1985. – KOSMO! ONLINE