fbpx

FoodUnites 2024 simbol perpaduan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Penganjuran program FoodUnites 2024 yang bakal berlangsung hujung minggu ini di Kuching Waterfront, Kuching, Sarawak antara inisiatif dalam menitikberatkan usaha memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran terhadap makanan tradisi, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan hari ini berkata FoodUnites bukan hanya sekadar festival makanan, malah bertujuan untuk menghidupkan semula dan mengekalkan makanan warisan sebagai simbol perpaduan di Malaysia.

“Selain memupuk semangat perpaduan dengan menghargai kepelbagaian budaya dan tradisi setiap kaum, FoodUnites juga akan akan mengangkat dan melestarikan makanan sebagai warisan negara yang harus dijaga dan diwarisi oleh generasi muda.

“Program ini akan menampilkan laksa Sarawak sebagai makanan utama, serta enam lagi makanan tradisi yang mewakili setiap kaum, antaranya nasi lemak, char kuey teow, nasi beriani, latok, ayam pansuh dan kek lapis,” jelas kenyataan tersebut hari ini.

FoodUnites bakal dirasmikan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pada 3 Februari nanti dan pelbagai pengisian menanti pengunjung termasuk zumba, permainan tradisional dan pameran yang berlangsung sehingga Ahad (4 Februari).

Seluruh masyarakat Malaysia, terutamanya masyarakat Negeri Sarawak dijemput berkunjung ke FoodUnites dan menyemarakkan lagi program ini dengan semangat dan satu tujuan yang sama, iaitu memperkukuh perpaduan di antara kita semua.

Info lanjut mengenai program tersebut boleh layari laman facebook Kementerian Perpaduan Negara. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI