PETALING JAYA – Masalah sukar menunaikan solat Jumaat kerana masjid terlalu jauh yang dihadapi penduduk Orang Asli di Pahang mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, permasalahan itu pernah dikongsikan Al-Sultan Abdullah kepada beliau sekali gus menunjukkan Seri Paduka cakna dan prihatin akan keperluan rakyat.
Katanya, setiap kali Seri Paduka merujuk kepada beliau berhubung kemusykilan agama atau bertanya tentang masalah rakyat, hatinya terasa damai dengan sikap cakna yang dimiliki Al-Sultan Abdullah kepada agama dan rakyat.
“Datuk, Orang Asli di tempat saya ada yang tidak dapat solat Jumaat sebab tak cukup 40 orang.
“Masjid yang lebih 40 orang jemaah jauh dari kampung mereka. Boleh ke mereka nak solat? Saya rasa solat Jumaat ini penting untuk mereka,” kongsi Zulkifli.
Beliau kemudian memberikan pandangan kepada Al-Sultan Abdullah berhubung permasalahan yang dihadapi komuniti Orang Asli tersebut.
“Saya menjawab, Ampun Tuanku. Pandangan muktamad Mazhab Syafie memang menuntut kepada 40 orang yang bermastautin.
“Patik amat bersetuju dengan Tuanku. Solat Jumaat amat penting bagi mereka, tambahan lagi kebanyakan mereka masih baharu dengan Islam.
“Perlu sentiasa didekatkan dengan agama. Ada pandangan kedua (marjuh) dalam kalangan ulama Syafi’iyyah yang membolehkan solat Jumaat didirikan dengan bilangan 12 orang.
“Sesuai untuk situasi Orang Asli Muslim yang tinggal jauh di pedalaman. Pada hemat patik pacal yang hina, hal ini boleh diusulkan kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk pertimbangan.
“Dengan kerjasama kader Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) di sana, insya-Allah ada jalan penyelesaiannya,” kata Zulkifli. – KOSMO! ONLINE