SAN PEDRO, Ivory Coast – Kecederaan hamstring dialami bintang Liverpool, Mohamed Salah dilihat sebagai punca utama Mesir tersingkir di pusingan 16 terbaik Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) kepada Republik Demokratik Congo di Stadium Laurent Pokou awal pagi semalam.
Salah, 31, mengalami kecederaan ketika menentang Ghana pada 19 Januari lalu, tetapi memilih untuk pulang menjalani pemulihan di Liverpool selepas Mesir layak ke pusingan kalah mati dengan harapan dapat kembali mengambil bahagian di peringkat seterusnya.
Malangnya, impian itu berkecai selepas The Pharaohs tewas 7-8 kepada Congo menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 120 minit permainan.
Ketiadaan Salah sememangnya menyaksikan Mesir dilihat tumpul dan lebih menyukarkan keadaan apabila bekas juara tujuh kali itu terpaksa beraksi dengan 10 orang selepas Mohamed Hamdy Sharaf dilayangkan kad merah pada minit ke-97.
Legenda Mesir yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu, Hossam Hassan tanpa berselindung mengkritik tindakan Salah kerana tidak bersama-sama rakan senegaranya untuk perlawanan awal pagi semalam.
“Kecederaan hamstring tidak memerlukan fasiliti yang hebat seperti di Liverpool. Masalahnya tidak serius dan dia hanya perlu melakukan fisioterapi bersama pasukan perubatan Mesir.
“Salah antara pemain terbaik dunia yang meraih pelbagai kejayaan bersama Mesir. Kalau tidak boleh bermain, anda perlu memainkan peranan lain dari segi teknikal kerana anda adalah kapten negara.
“Saya tidak menyerang Salah kerana saya akui dia seorang legenda di luar Mesir. Cuma keputusannya melakukan rawatan di Liverpool adalah salah,” kata Hassan. – AGENSI