PUTRAJAYA – Seramai 1,907 calon berdaftar menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di 11 pusat peperiksaan di seluruh Putrajaya hari ini.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ezaiddin Hussain berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 62 pelajar merupakan calon persendirian dan 18 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) yang terdiri daripada kategori masalah pembelajaran, ketidakupayaan intelektual, penglihatan dan fizikal.
“Bagi pusat-pusat peperiksaan di Putrajaya, secara umum berjalan dan diuruskan dengan baik kerana kita telah membuat persiapan yang rapi.
“Pelajar berkeperluan khas juga diurus dengan baik termasuk seorang pelajar yang cacat penglihatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan peperiksaan hari pertama di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) di sini hari ini.
Menurutnya, pada tahun ini, terdapat seorang calon yang menduduki peperiksaan SPM di hospital ekoran terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Dalam pada itu, Ezaiddin berkata, seramai 485 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan dengan 15 daripadanya merupakan petugas sukarelawan. – KOSMO! ONLINE