fbpx

18,837 calon duduki SPM bertulis di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Calon SPM menduduki peperiksaan bertulis, hari ini.

SEBERANG PERAI – Seramai 18,837 calon mula menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di seluruh negeri Pulau Pinang, hari ini.

Mengikut pecahan, seramai 17,241 calon menduduki peperiksaan di sekolah kerajaan, 435 dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan agensi kerajaan, 159 calon di sekolah agama negeri, 158 di sekolah swasta, 764 melibatkan calon persendirian dan 80 calon di sekolah agama rakyat.

Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, sebanyak 161 pusat peperiksaan telah diaktifkan bagi pengurusan dan pengendalian peperiksaan bertulis yang melibatkan 145 buah sekolah serta 16 buah hospital.

Menurutnya, bagi memastikan kelancarannya, seramai 1,982 petugas peperiksaan telah dilantik yang terdiri daripada pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Pejabat Pendidikan Daerah, guru sekolah rendah dan menengah, anggota kumpulan pelaksana serta petugas sukarelawan.

“Pada tahun ini ada tambahan petugas sukarelawan yang sama-sama menjadi petugas peperiksaan. Semua petugas telah didedahkan dengan prosidur operasi standard (SOP) dalam pengoperasian peperiksaan.

“Kita mengharapkan komitmen dan konsistensi semua petugas dalam memastikan semua calon menduduki peperiksaan serta mengelakkan salah laku semasa peperiksaan dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau suasana hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2023 di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin di Bukit Mertajam di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI