fbpx

TVET perlu cari pendekatan baharu jamin kebolehpasaran graduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) menggesa Majlis Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang supaya mencari pendekatan baharu untuk menjamin kebolehpasaran graduan.

Pengerusi Pemikir, Datuk Muhamad Farid Saad berkata, graduan perlu diberi suntikan ilmu tambahan serta dilatih dalam bidang tertentu untuk memastikan mereka memenuhi keperluan serta permintaan pasaran.

Tambah beliau, perkara tersebut selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara yang ingin memperkasakan pengajaran TVET dalam negara.

“Industri elektrik dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang akan terus berkembang serta memerlukan lebih ramai jurutera, namun ramai graduan tidak memenuhi kriteria keperluan industri.

“Keseriusan kerajaan negeri Pulau Pinang diserlahkan dengan menamakan pulau hasil tambakan sebagai Silicon Island disamping dengan pembinaan kilang-kilang baru di kawasan perindustrian Batu Kawan.

“Sehubungan itu, kita rasa ini adalah masa yang sesuai untuk melihat kembali penglibatan orang-orang Melayu sebelum lebih terlambat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Farid berkata, graduan Bumiputera lepasan universiti tempatan dalam bidang kejuruteraan elektrik, elektronik, mekatronik dan sealiran dengannya sukar mendapat pekerjaan melainkan jika mereka dari lima universiti utama dengan nilai gred kumulatif (CGPA) melebihi 3.5.

“Graduan dari universiti tier kedua atau dengan CGPA kurang daripada tiga juga sukar mendapat pekerjaan, selain penguasaan graduan Bumiputera kurang menguasai Bahasa Inggeris, tiada keterampilan dan keyakinan diri.

“Oleh itu, latihan amali boleh dilanjutkan sehingga enam bulan berbanding tiga bulan sebelum ini dan kaedah yang sama boleh diguna pakai bagi graduan di negeri lain juga,” katanya.

Tambah beliau, kebanyakan syarikat syarikat besar tempatan (LLC) adalah milik kaum Cina dan syarikat syarikat multinasional (MNC) juga mempunyai rakan kongsi daripada kaum Cina.

“Setelah lebih 50 tahun perindustrian di Bayan Lepas diwujudkan, tidak ada satu syarikat gergasi milik Bumiputera negeri ini yang wujud dan boleh dibanggakan.

“Bagaimanapun, sokongan LLC dan MNC sedia ada dapat memberi peluang kepada jurutera Bumiputera untuk membuka kilang mereka sendiri berdasarkan kepakaran dan kemampuan mereka akan memberi sinar baru kepada perkongsian kek ekonomi dalam sektor ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI