GEORGE TOWN – Kira-kira 120,000 pengguna di daerah Barat Daya serta sebahagian pengguna di Timur Laut mempunyai masa sehingga 11.30 malam esok bagi menyimpan semula bekalan air dengan secukupnya.
Ini untuk membolehkan pengguna menghadapi gangguan air berjadual yang dijangka berlangsung antara 24 hingga 48 jam, bermula esok bagi pelaksanaan pelan B (kerja-kerja pengalihan saluran paip di Sungai Perai) dijalankan sepenuhnya.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerima permohonan daripada pengguna untuk memberikan tempoh secukupnya bagi membolehkan mereka dapat menyimpan air dengan secukupnya.
“Ada permintaan untuk pengguna diberikan masa yang mencukupi bagi mereka menyimpan air, maka kita memutuskan penangguhan kerja-kerja paip sambungan itu pada 11.30 malam, esok dan bukannya pada malam ini.
“Kami berharap pengguna terkesan dapat menyimpan air bagi menghadapi gangguan bekalan air berjadual apabila kerja-kerja fizikal bagi pelan B dijalankan,” katanya selepas merasmikan projek linear garden di Padang Kota Lama di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE