fbpx

Salma gadis Mesir fasih berbahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan UKM ini mahu menjadi pakar kanak-kanak

KEPETAHAN bertutur dalam bahasa Melayu membuatkan ramai orang sering menganggap Salma Wael Marzouk Abouelsound Hashem, 23, ialah seorang warganegara Malaysia.

Malah, paras wajahnya turut mempunyai iras-iras wanita tempatan.

Sebenarnya, dia langsung tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan Malaysia tetapi Salma telah menganggap negara ini seperti ‘keluarga’ sendiri.

Mengulas tentang asal usulnya, gadis manis itu menyatakan bahawa dia sebenarnya berasal dan dilahirkan di Mesir.

“Walaupun saya ini orang Mesir, secara jujurnya saya lebih fasih berbahasa Melayu berbanding bahasa Arab.

“Ini kerana, saya telah berada di Malaysia sejak berusia setahun dan apabila membesar, saya bergaul dengan warga tempatan dan bersekolah di sekolah kerajaan. Atas sebab itu saya fasih berbahasa Melayu seperti orang lain,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengulas lanjut tentang bagaimana dia boleh membesar di Malaysia, Salma menyatakan, pada tahun 2002 keluarganya telah berpindah dari Mesir ke Malaysia kerana bapanya mendapat tawaran untuk bekerja di negara ini.

Pada ketika itu, wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) melanda negara ini dan Malaysia kekurangan doktor pakar bius yang bertugas di hospital di luar bandar.

“Ayah saya merupakan seorang pakar bius dan ketika itu dia mendapat tawaran untuk bekerja di Malaysia dan bertugas di Hospital Batu Pahat, Johor.

“Disebabkan itu kami sekeluarga berpindah ke Malaysia dan tinggal di sini sehinggalah sekarang dan ayah saya juga telah mendapat taraf penduduk tetap,” jelasnya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Berbicara tentang pengajiannya dalam bidang perubatan, Salma menejelaskan dia memilih jurusan tersebut kerana itulah cita-citanya sejak kecil lagi.

Salah satu faktor yang mendorong untuk Salma menjadi doktor adalah kerana bapanya sendiri.

“Dari kecil saya lihat ayah saya bertugas sebagai doktor, jadi itu sedikit sebanyak telah membentuk minat saya.

SALMA

“Selain itu saya juga mempunyai minat yang tinggi dalam biologi dan pada masa sama ingin berbakti kepada orang ramai dan atas sebab itu saya memilih bidang ini,” terangnya.

Ketika diminta mengulas tentang bidang kepakaran yang diminati, Salma menyimpan hasrat untuk menjadi pakar kanak-kanak.

Alasan mengapa dia ingin menjadi pakar dalam bidang tersebut kerana dia sendiri amat menyukai kanak-kanak.

“Saya rasa jiwa saya dengan kanak-kanak, saya suka melayani mereka.

“Menurut orang sekeliling, saya ada keserasian dengan kanak-kanak,” terangnya yang kini berada di tahun keempat pengajian.

Dalam pada itu, sebenarnya, Salma mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di universiti luar.

Namun, dia tidak berbuat demikian dan memilih UKM sebagai tempat untuknya menimba ilmu.

“Saya memilih UKM kerana ia adalah lambang kepada Malaysia.

“Ia juga menjadi satu simbolik untuk saya membalas kembali jasa kepada negara yang telah menjaga saya selama ini dan UKM bagi saya merupakan pilihan yang tepat buat saya,” terangnya.

Meskipun sibuk sebagai seorang pelajar perubatan, Salma juga merupakan seorang pelajar yang aktif dengan aktiviti luar.

Sebelum ini dia pernah menjadi sebahagian daripada Majlis Perwakilian Pelajar (MPP) selama dua tahun.

Malah, dia mengakui melalui penglibatannya dalam aktiviti luar itu banyak perkara yang dia boleh pelajari.

“Saya belajar banyak kemahiran antaranya komunikasi, membina jaringan dan lain-lain lagi apabila aktif dengan aktiviti luar ini.

“Untuk mendapat pengalaman ini, ia tidak ada di dalam kelas sebaliknya boleh diraih di luar kelas,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Salma juga seorang pelajar yang aktif dengan pidato.

Bahkan, dia pernah mewakili UKM dalam pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2021 dan mendapat naib johan.

“Saya membuat keputusan untuk menyertai pertandingan ini pada saat akhir iaitu seminggu sebelum pertandingan bermula.

“Berkat bantuan dan sokongan guru pidato saya ketika itu, Azlan Ahmad dan Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Ir. Othman Karim serta HEP UKM, alhamdulillah dapat kecapi kejayaan tersebut untuk UKM

“Ia menjadi satu cabaran buat saya di mana dalam tempoh seminggu itu saya berlatih sungguh-sungguh sehingga ada kelas yang tidak sempat saya hadiri, tetapi saya bersyukur kerana pensyarah memahami dan mereka juga banyak membantu saya,” terangnya.

Sementara itu, Salma mengakui dia sebenarnya sayang akan negara Malaysia kerana dia membesar di negara ini.

Oleh yang demikian, dia juga berhasrat untuk memohon menjadi warganegara Malaysia dan kembali menyumbang kepakaran serta tenaga untuk negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI