PETALING JAYA – Pemilik inap desa atau ‘glamping’ yang tular baru-baru ini meminta orang ramai agar mendengar penjelasan dari kedua-dua belah pihak sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Perkara tersebut adalah susulan daripada tersebarnya sebuah video berdurasi 29 saat di aplikasi X yang memaparkan seorang warga emas dikasari oleh seorang lelaki yang juga merupakan pekerja inap desa tersebut.
Menurut hantaran inap desa itu di laman Facebook, video yang tular di media sosial itu telah disunting dan tidak menunjukkan situasi sebenar kejadian tersebut.
“Kami ingin membuat pencerahan tentang video yang dikongsi di media sosial. Kalau hendak tahu cerita sebenar, tengok (video) yang kami kongsikan.
“Nenek tua tersebut adalah jiran kami yang pada awalnya pukul nenek yang bekerja di inap desa kami,” jelasnya.
Menurutnya, pergaduhan bersama jiran itu telah berlarutan selama bertahun-tahun dipercayai atas rasa tidak puas hati.
“Nenek yang dipukul itu bekerja di inap desa milik kami, umurnya 70 tahun. Daripada video tersebut, boleh dilihat dengan jelas dia (jiran) bawa kayu.
“Tetapi, dalam video tular, mereka (jiran) sengaja potong bahagian ini dan hanya tunjukkan bahagian dia dipukul. Padahal pihak kami halau dia (jiran) dan rampas kayu agar dia tidak pukul staf kami lagi,” katanya.
Tambah pihak inap desa, jirannya itu juga sering membuat aduan tentang sampah di kawasan ‘glamping’ tersebut.
“Semua sampah domestik pihak majlis angkat setiap hari. Tetapi tetap kami dimarahi saban hari.
“Bagaimanapun, hari ini jiran bertindak agak melampau sehingga berani mengasari staf kami.
“Memang berlaku pergelutan seperti dalam video tetapi staf kami hanya mempertahankan diri. Biarlah pihak polis lakukan siasatan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE