PETALING JAYA – Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan diagihkan kepada 8.2 juta penerima, hari ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan pembayaran tersebut akan dibuat kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR.
Menurutnya, STR bakal disalurkan melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat, mengikut kategori kelayakan masing-masing.
MOF berkata, kerajaan menaikkan bayaran STR Fasa 1 kepada RM500 bagi penerima kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah, berbanding bayaran maksimum RM300 tahun lepas.
Bagi isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 pula, penerima layak menerima RM100 hingga RM300.
Penerima bagi kategori warga emas tiada pasangan dan golongan bujang pula masing-masing akan menerima RM150 dan RM100.
Orang ramai boleh menyemak status kelayakan STR dan mendapatkan jawapan bagi soalan lazim (FAQ) dalam portal rasmi STR melalui pautan bantuantunai.hasil.gov.my atau manfaat.mof.gov.my. – KOSMO! ONLINE