KUALA LUMPUR – Orang ramai berpeluang menyaksikan acara ‘state drive’ atau lambaian kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja dan Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang berlangsung esok.
Acara kemuncak tersebut akan bermula pada pukul 10 pagi dari Dataran Parlimen ke Bulatan Dato’ Onn sebelum Seri Paduka Baginda berdua berlepas ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, susulan itu, sepanjang Jalan Parlimen sehingga ke arah Bulatan Dato’ Onn akan ditutup sepenuhnya seawal pukul 6 pagi.
Ujarnya, ia bagi pergerakan masuk pasukan pelambai seramai 3,650 yang terdiri daripada kakitangan kerajaan pelbagai kementerian.
“Bas-bas yang membawa pasukan tersebut akan menurunkan pasukan pelambai di sepanjang Jalan Parlimen sehingga, ke arah Bulatan Dato Onn dan diparkirkan di sekitar Padang Merbok.
“Kenderaan persendirian dan orang awam yang ingin bersama-sama ke acara tersebut boleh meletakkan kenderaan di sekitar Taman Botani, parkir bertingkat di Bukif Aman dan parkir di bawah Dataran Merdeka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Sebelum acara tersebut, Seri Paduka Baginda berdua dijangka menghadiri Istiadat Keberangkatan Balik yang bermula dari Istana Negara dan kemudiannya di Dataran Parlimen sebagai simbolik tamat tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dalam pada itu, Allaudeen berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur akan menempatkan lebih kurang 91 kekuatan pegawai bagi mengawal lalu lintas.
Ujarnya, sebanyak tujuh laluan yang terlibat dengan penutupan penuh, manakala 13 laluan lagi akan ditutup secara berperingkat bermula pukul 9 pagi.
“Bagi jalan yang terbabit penutupan penuh adalah Jalan Damansara ke arah Jalan Parlimen (dari arah Istana Lama) dan Jalan Sultan Abdul Halim ke arah Jalan Parlimen.
“Lebuh Raya Sultan Iskandar ke arah Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Jalan Salahudin, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tun Perak ke arah Bulatan Dato’ Onn,” katanya. – KOSMO! ONLINE