fbpx

Mentega Terbang: Penerbit berjaya ketepi perintah larangan bersuara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem Mentega Terbang yang diwartakan haram.

KUALA LUMPUR – Penerbit filem kontroversi, Mentega Terbang, Tan Meng Kheng berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan perintah larangan bersuara (gag order) yang dikenakan terhadapnya pada 18 Januari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan penerbit itu pada tarikh sama.

“Responden (pendakwaan) gagal menunjukkan terdapatnya risiko besar dan nyata terhadap prosiding perbicaraan dan turut tidak mendedahkan sebarang ancaman (yang mungkin timbul”.

“Responden boleh mebgambil tindakan sewajarnya (pada masa hadapan) sekiranya timbul isu subjudis. Perintah larangan yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret adalah tidak wajar dan oleh itu diketepikan,” ujar Hakim Muhammad Jamil.

Pada 17 Januari lalu, di Mahkamah Majistret di sini, Majistret Aina Azahra Arifin mengenakan syarat tambahan tersebut selain jamin RM6,500 terhadap Meng Kheng selepas lelaki itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang itu dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang itu.

Turut didakwa atas pertuduhan sama di Mahkamah Majistret berbeza ialah pengarah filem itu, Mohd. Khairianwar Jailani.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau dengan denda atau dengan kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Mohd. Khairianwar turut memfailkan permohonan semakan berhubung isu perintah larangan bersuara tersebut namun permohonannya telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi berlainan pada 24 Januari lalu.

Sementara itu, peguam bela, N. Surendran yang mewakili Meng Kheng memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah membabitkan permohonan semakan Mohd. Khairianwar.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah peguam-peguam Zaid Malek dan Nabila Khairuddin manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling dan Nadia Muhd. Izhar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI