fbpx

Jiman Casablancas meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARWAH dilaporkan meninggal dunia akibat kegagalan jantung dan darah beku selepas terjatuh di kediaman rakannya.

PETALING JAYA – Ikon fesyen, bekas peguam dan penasihat perhubungan awam, Jiman Casablancas disahkan meninggal dunia semalam akibat kegagalan jantung dan darah beku selepas terjatuh di kediaman seorang kenalan.

Berita duka tersebut dikongsikan sahabat arwah yang juga pelakon, Nabila Huda menerusi Instagramnya semalam.

“Dukacita dimaklumkan kita kehilangan seorang sahabat, abang dan kesayangan Mohd Nizam Khamis atau lebih dikenali sebagai Jiman Casablancas.

“Didoakan agar Allah SWT mengasihani dan mengampunkan arwah dan menempatkannya di tempat terbaik di syurga.

“Semoga Allah mengurniakan ketabahan dan kekuatan kepada ahli keluarga yang kehilangan Jiman,” katanya.

Jiman juga merupakan penulis dan pengarah kreatif serta pegawai komunikasi jenama pakaian Tarik Jeans.

Selain Nabila, arwah juga sering menjadi penasihat fesyen atau penata gaya kepada Datuk Amy Search.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sekitar pukul 10 pagi hari ini.

“Kehadiran dan sokongan anda adalah amat dihargai,” ujarnya.

Jiman antara individu yang kerap menghiasi pentas fesyen tempatan dan terkenal dengan gaya estetik punk dan avant-garde.

Untuk rekod, bekas penuntut jurusan Undang-Undang Universiti Malaya itu merupakan Pengarah Komunikasi Tarik Jeans, Ketua Pengarang kandungan berita digital Common Affairs serta pengasas JCPR.

Sebagai penasihat perhubungan awam, Jiman pernah berkolaborasi dengan pelbagai jenama fesyen tempatan antaranya Zakwan Anuar, Pearly Wong, Fern Chua, Nusantara Denims dan banyak lagi.

Malah, Jiman pernah tersenarai antara 100 Individu Paling Berpengaruh di Malaysia oleh GetCraft.

Allahyarham juga menjadi penasihat gaya ramai bintang rock tanah air termasuk kumpulan Search. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI