KUALA LUMPUR – Enam penumpang berdepan detik cemas apabila diminta turun oleh kapten selepas bas dinaiki mereka terbakar di Jalan Ampang, di sini, hari ini.
Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam satu kenyataan hari ini berkata kejadian pada pukul 10.52 pagi itu melibatkan sebuah bas Rapid KL laluan 303 (Taman Mulia Jaya-Lebuh Ampang).
Ujarnya, ketika kejadian, kapten melihat asap datang dari bahagian belakang bas sebelum mengambil keputusan untuk berhenti dan menurunkan penumpang.
“Kapten bas cuba mengawal api daripada merebak menggunakan pemadam api yang terdapat dalam bas.
“Pihak bomba dihubungi dan tiba di lokasi pada pukul 10.56 pagi. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya tidak lama selepas itu. Ketika kejadian, terdapat enam orang penumpang di dalam bas.
“Kapten bas dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan, dan tiada kerosakan pada harta benda awam. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Tambah Rapid Bus, pasukan forensik bomba berada di lokasi bagi menjalankan siasatan awal manakala bas tersebut ditunda balik ke depoh pada pukul 12.08 tengah hari.
“Pihak Rapid Bus memohon maaf kepada penumpang yang terjejas akibat kejadian ini dan akan memberikan kerjasama penuh dengan pihak polis bagi menjalankan siasatan sepenuhnya ke atas punca kebakaran,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.48 pagi sebelum menghantar jentera ke tempat kejadian.
Katanya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba, terdapat sebuah bas terbakar 50 peratus di bahagian belakang hingga ke tengah bas.
“Tindakan pemadaman menggunakan teknik dua aliran hosereel untuk mengawal kebakaran dari merebak. Kebakaran padam sepenuhnya pada pukul 11.07 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE.