PETALING JAYA – “Kita baru sahaja berenam kan abang, tiba-tiba awak tinggalkan kami berlima.”
Demikian luahan hati balu kepada peniaga produk kosmetik, Allahyarham Norhisyam Ismail, 43, yang mayatnya ditemukan di pesisir Pantai Suri semalam.
Lelaki itu dilaporkan hilang selama 14 hari selepas terjatuh Jambatan Tendong, Kota Bharu.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Ida meluahkan perasaannya dan memuat naik gambar bersama suami di akaun TikToknya.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai menitipkan ucapan takziah dan meminta agar wanita itu dan keluarganya kekal tabah dengan dugaan yang menimpa mereka.
“Takziah, semoga Ida sekeluarga diberikan ketabahan dalam membesarkan anak-anak,” kata Sani.
“Alhamdulillah arwah sudah dijumpai. Semoga Kak Ida dan keluarganya tabah menghadapi segala ujian ini,” kata Eaeny.
“Salam takziah Kak Ida dan anak-anak. Moga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” kata Lynnda.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang peniaga produk kosmetik sempat menghubungi bapa mentuanya meminta supaya datang mengambil keretanya yang rosak sebelum terjatuh ke dalam sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Ismail Petra.
Abangnya, Sukardi, 47, berkata, Norhisyam sempat berpesan kepada bapa mentuanya untuk datang mengambil kereta jenis Mercedes Benz E250 CGI kerana ia mengalami kerosakan semasa berada di atas jambatan tersebut. – KOSMO! ONLINE