fbpx

Bersatu ambil tindakan undang-undang wakil rakyat khianati parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat parti tersebut yang mengkhianati Bersatu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.

“Mesyuarat bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan Bersatu bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil.

“Selaras dengan ketegasan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hamzah berkata, dalam menyusun langkah-langkah konkrit ke hadapan, Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu juga bersetuju meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Muhyiddin selaku Presiden parti.

Menurut beliau, ia termasuk dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh, tampil lebih kredibel serta tegas dan berani.

Kata beliau, pada masa yang sama, beberapa langkah bagi membugarkan Bersatu juga telah diambil antaranya dengan melantik tiga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu baharu.

Jelas beliau, mereka ialah Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin dan Penolong Setiausaha Srikandi Malaysia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Tambah beliau, perubahan kepimpinan Bersatu di peringkat negeri juga turut dilaksanakan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor.

“Mohamad Hanifah Abu Bakar pula dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan. Parti mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Abdul Rashid Asari yang memimpin kedua-dua negeri tersebut sebelum ini.

“Selain itu, beberapa lantikan Pegerusi Biro baharu juga telah dilunaskan iaitu Datuk Dr. Radzi Jidin (Biro Ekonomi); Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Biro Antarabangsa); Datuk Azman Nasrudin (Biro Pendidikan) dan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (Biro Latihan) serta Fadzillah Mohd Pilus dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu,” katanya.

Terdahulu, Hamzah memaklumkan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam tadi membincangkan banyak perkara terutama mengenai situasi terkini ekonomi negara.

Dakwanya, ekonomi negara dalam keadaan suram dan beban sara hidup rakyat kian mendesak ekoran masalah harga barang melambung tinggi, nilai ringgit berterusan merudum serta ditambah dengan kenaikan bil utiliti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI