BEIJING – Seorang wanita di China menimbulkan kemarahan anak-anaknya kerana mewasiatkan seluruh harta pusaka kepada haiwan peliharaannya, lapor laman berita Unilad kelmarin.
Liu dari kota raya Shanghai bertindak menukar wasiat selepas mendakwa dia telah diabaikan oleh tiga anaknya ketika di usia senja. Dia berkata, mereka tidak kerap menziarahinya walaupun selepas dia jatuh sakit.
Menurut warga emas berkenaan, dia hanya ditemani oleh beberapa ekor anjing dan kucing ketika musim luruh.
Sebuah klinik veterinar tempatan ditugaskan oleh Liu untuk menyelia dan mentadbir kesemua wang dan aset bernilai 20 juta yuan (RM13.3 juta) yang diwasiatkan kepada haiwan-haiwannya.
Bagaimanapun, perbuatan mewasiatkan harta kepada haiwan adalah tidak sah di sisi undang-undang China.
Seorang pegawai ibu pejabat Pusat Pendaftaran Wasiat China di Beijing, Chen Kai mengemukakan beberapa alternatif dalam menyelesaikan kes tersebut.
“Kami akan menasihati Liu supaya melantik orang dipercayainya untuk menyelia klinik veterinar bagi memastikan haiwan peliharaannya dijaga dengan baik,” katanya. – AGENSI