IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan isterinya membuat pilihan untuk menerima satu pencen sahaja.
Berucap pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak, Anwar berkata, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan menerima tiga pencen iaitu sebagai doktor kerajaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan Ahli Parlimen.
“Dia (Wan Azizah) maklum kepada saya pagi tadi, dia akan pilih salah satu pencen,” katanya hari ini.
Pada masa sama, Anwar memberitahu, skim pencen melibatkan pegawai kerajaan sedia ada tidak boleh dirungkai.
Anwar menjelaskan, ini kerana ia merupakan satu peruntukan di bawah perlembagaan dan tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri sebelum dibawa ke Parlimen untuk memutuskan secara muktamad.
“Saya sentuh perkara ini kerana hendak hendak tunjukkan sebuah kerajaan mesti berani menghasilkan polisi dan melaksanakan program untuk kepentingan negara walaupun pada ketikanya dianggap tidak popular,” katanya.
Beliau berkata, tindakan diambil kerajaan berhubung pencen penjawat awam yang diumumkan baru-baru ini perlu diambil bagi mengelakkan negara terus terbeban dengan hutang.
Pada masa sama, beliau menegaskan Kerajaan Perpaduan yang memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen adalah kuat dan kini adalah masanya untuk melaksanakan perubahan demi kebaikan negara. – KOSMO! ONLINE