IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis pelantikan Presiden baharu Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) 2024 di sini semalam.
Baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ke program tersebut yang dinamakan sebagai Malam Pemasyhuran Presiden KBGK 2024.
Dalam majlis tersebut, pemuda 38 tahun, Muhammad Hamzah Mohd. Hamdan diangkat sebagai Presiden yang ke-38 KBGK, bagi menggantikan Sheikh Izat Azhar Sheikh Ahmad.
KBGK ditubuhkan pada tahun 1977 yang dianggotai oleh mereka daripada pegawai kerajaan, ahli perniagaan, wakil politik dan golongan profesional serta pemimpin persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sheikh Izat Azhar yang berucap pada majlis itu berkata, sepanjang tahun lalu banyak aktiviti dilakukan oleh kelab termasuklah program Kembali Ke Sekolah untuk membantu anak-anak yatim Darussalam dan anak Orang Asli Kampung Lalang, pengedaran sumbangan makanan di sekitar Ipoh serta kutipan bantuan kemanusiaan Gaza.
Beliau yakin Presiden baharu yang dilantik akan terus membawa kelab itu berbakti kepada masyarakat lebih-lebih lagi Muhammad Hamzah sejak dari bangku sekolah aktif di dalam persatuan dan NGO di Perak. – KOSMO! ONLINE