JOHOR BAHRU – Seramai 12 individu berputih mata apabila terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto dalam talian sehingga menyebabkan kerugian RM5,071,178.81.
Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M. Kumar berkata, kerugian itu melibatkan 12 mangsa berusia 46 hingga 71 tahun antara 3 hingga 26 Januari lalu.
Menurutnya, laporan polis diterima melibatkan lapan kes di Johor Bahru, masing-masing dua kes di Segamat dan Muar.
“Kesemua mangsa mendakwa telah melihat iklan berkaitan pelaburan mata wang kripto di dalam talian melalui laman Accerx yang menawarkan keuntungan tinggi dalam masa yang singkat.
“Mangsa telah menekan pautan (link) yang diberikan sebelum dibawa masuk ke dalam kumpulan WhatsApp dengan menerangkan pelaburan yang ditawarkan serta keuntungan yang bakal diperolehi.
“Mangsa turut memuat turun aplikasi Accerx dan mendaftarkan diri bagi memantau pelaburan masing-masing selain membuat pemindahan wang ke akaun yang diarahkan sebagai pembelian pelaburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata, semakan di laman Accerx mendapati mangsa telah mendapat keuntungan berlipat kali ganda namun usaha mereka untuk mengeluarkan keuntungan tersebut gagal.
Malah mereka diarahkan untuk memasukkan sejumlah wang yang lain jika mahu menuntut wang tersebut atau pelaburan mereka akan hangus.
Ujarnya, menyedari mereka telah ditipu, kesemua mangsa tampil membuat laporan polis dan kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE