fbpx

PM mahu kementerian sumbang tanah terbiar untuk pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tiga dari kiri) melawat ladang tanaman pada Sesi Lawatan Projek Inisiatif Pendaparan Rakyat Usahawan Tani (IPR Intan) Ulu Kinta di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI.

IPOH – Perdana Menteri mahu kementerian menyumbangkan tanah-tanah terbiar yang tiada sebarang perancangan, supaya boleh diusahakan projek pertanian bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah bercucuk tanam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kementerian seperti Pendidikan, Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya perlu segera menyenaraikan tanah-tanah tersebut untuk dipinjamkan bagi tujuan berkenaan.

“Saya harap dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) akan datang. Kita akan bangkitkan lagi perkara ini.

“Supaya ada kertas Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian terutamanya dan kementerian-kementerian lain yang patut menyediakan tanah.

“Saya sebut tadi tanah KDN, tanah Kementerian Pendidikan, tanah Kementerian Kesihatan yang dipinjam untuk beberapa waktu. Harus disediakan dan kita hendak perkara ini dalam masa yang singkat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat Inisiatif Usahawan Tani Wilayah Ekonomi Koridor Utara (IPR-INTAN NCER) di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Semasa lawatan itu, Anwar dibawa melawat tapak tanaman cili dan terung yang diusahakan secara moden di tanah dalam kawasan Hospital Bahagia Ulu Kinta, di Tanjung Rambutan, dekat sini.

Anwar memuji usaha dibuat oleh Kementerian Ekonomi itu yang baginya sebelum ini tidak pernah difikirkan.

Beliau melihat pendekatan tersebut sebagai satu daripada usaha keterjaminan makanan negara tanpa terlalu bergantung kepada import selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan berpendapatan rendah.

“Negara ini subur (tanah), tetapi import makanan memang luar biasa. Cili import, bawang import, sayur import, semuanya. Padahal kalau kita tengok tadi membanggakan. Mutu cili baik, mutu terung baik,” katanya.

Sementara itu, Rafizi mengharapkan lebih banyak kementerian dan kerajaan negeri komited menyumbangkan tanah masing-masing supaya dapat menciptakan peluang ekonomi di luar bandar menerusi pertanian moden.

Kementeriannya mengharapkan usaha itu berjaya mencipta 20,000 peluang pekerjaan menerusi pertanian moden dengan pendapatan yang stabil menjelang akhir tahun 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI