ALOR SETAR – Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) mempertahankan aksi silat di hadapan Masjid Nabawi, Madinah, yang tular baru-baru ini sehingga mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.
Presidennya, Datuk Maideen Kadir Shah berpandangan, individu yang melakukan aksi berkenaan sekadar mempamerkan budaya yang menjadi identiti orang Melayu selain mereka tidak melakukan sesuatu melanggar adab atau etika.
“Selagi mana apa yang dipamerkan itu benda yang baik sebab itu bukan waktu solat dan ia di dewan luar bukan dalam Masjid Nabawi itu sendiri. Jadi itu di luar, ia menggambarkan sesuatu yang baik iaitu identiti kita kerana mereka berpakaian busana (silat).
“Jadi mereka berpakaian beradab dan tak buat perkara yang melanggar dari segi adab dan etika kita sebagai orang Melayu dan Islam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Galeri PSSCM dan Majlis Serah Tapak antara persatuan itu dengan Lembaga Muzium Kedah di Muzium Negeri Kedah, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai satu klip video berdurasi 27 saat yang menunjukkan seorang individu bersama dua kanak-kanak membuat persembahan silat di pekarangan Masjid Nabawi, Madinah.
Bagaimanapun, video yang tular sejak beberapa hari lalu itu mendapat kecaman daripada netizen kerana dikatakan tidak menghormati kawasan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini berkata, tindakan tiga individu berkenaan juga dikhuatiri memburukkan imej buruk negara.
Mengulas lanjut kata Guru Utama PSSCM itu, seni silat mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam dan wajar dihormati oleh semua pihak.
“Di negara kita, masjid menjadi tempat membawa silat untuk menyemarakkan masjid. Jadi apa salahnya orang silat buat tetapi dengan adab dan etika dan dia menunjukkan sesuatu yang baik,” katanya.
Menyentuh tentang kecaman daripada pelbagai pihak katanya, isu tersebut jika mengundang permasalahan di peringkat antarabangsa termasuk hubungan Malaysia dengan negara terlibat perlu diselesaikan secara diplomatik.
“Imej terpalit ini kepada saya, saya tidak nampak benda itu kerana kita orang Melayu tahu bahawa silat adalah identiti bangsa kita kerana silat adalah pakaian bangsa dan silat adalah ilmu yang mendidik orang kita menjadi seorang khalifah dan pemimpin yang dapat memimpin agama, bangsa dan negara, jadi apa salahnya?
“Kalau ada isu, itu kita selesaikan di peringkat kementerian kenapa kita jadikan benda yang baik itu jadi benda tak baik?
“Dia bukan bergaduh dan pukul orang, dia cuma mempamerkan nilai budaya kita bukan buat benda di luar budaya kita sebab silat itu budaya kita dan pakaian itu sendiri pakaian budaya kita,” katanya.
Beliau pada masa sama meminta agar polemik itu dihentikan segara sehingga mendatangkan pandangan serong terhadap institusi silat itu.
“Saya tak nampak apa salah, kenapa pakai baju songket kat sana tidak boleh? Selagi mana dia menutup aurat dan menepati syariat Islam jadi pada saya tak ada sesuatu yang mencemarkan maruah dan imej manusia. Saya rasa ini (kecam-mengecam) perlu dihentikan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE