SKUAD hoki lima sebelah (5s) wanita kebangsaan boleh berbangga dengan pencapaian pada saingan Piala Dunia Hoki 5s Wanita di Muscat, Oman apabila menamatkan kejohanan sebagai pasukan keenam terbaik dunia.
Pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam yang berlangsung malam kelmarin, skuad kendalian Nabil Fiqri Mohd. Noor itu terpaksa akur tewas 4-8 kepada Uruguay.
Penyerang, Teresa Viana menjadi wira pasukannya apabila meledak enam gol, sekali gus dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan dua lagi gol Uruguay dijaringkan Manuela Vilar dan Florencia Penalba.
Malaysia pula meraih empat gol menerusi dua jaringan Zati Alyani Muhamad Zubir serta masing-masing satu daripada Nur Zafirah Aziz dan Nurul Safiqah Mat Isa.
Walaupun tewas, namun Nabil berpuas hati dengan aksi ditampilkan barisan pemainnya selain menerima hakikat bahawa Uruguay bermain lebih baik, terutamanya dari segi penguasaan perlawanan.
“Bertemu Uruguay, walaupun tewas 4-8 tetapi kita sudah tunjukkan persembahan yang baik dan bertenaga bagi memberikan tentangan sengit kepada mereka. Bagaimanapun, kita terima keputusan ini dengan hati terbuka.
“Secara keseluruhan, Uruguay lebih banyak mendominasi perlawanan selain memanfaatkan setiap peluang terhidang bagi memastikan kemenangan dan tempat kelima menjadi milik mereka,” katanya yang merupakan bekas pemain kebangsaan.
Tambah beliau, saingan Piala Dunia Hoki 5s yang julung kali diadakan itu boleh dianggap sebagai medan tertinggi untuk barisan pemainnya menguji kemampuan menentang pasukan-pasukan terbaik dunia.
“Pemain-pemain negara menunjukkan peningkatan sepanjang Piala Dunia berlangsung. Kejohanan ini adalah medan tertinggi yang disertai barisan pemain kebangsaan dan selaku jurulatih, saya gembira dengan prestasi ditampilkan,” ujar Nabil.