fbpx

Lelaki bisu maut terperangkap dalam kebakaran bengkel motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memeriksa keadaan premis membaiki motosikal yang terbakar dalam kejadian di Taman Sri Utama Gurun, awal pagi tadi.

GURUN – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditemui maut selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah bengkel motosikal di Taman Sri Utama Gurun, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mayat Cheah Chun Hong, 34, dijumpai di dalam bilik air di bahagian belakang premis tersebut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.40 pagi tadi.

Katanya, operasi pemadaman api dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak dan Yan.

“Kebakaran melibatkan sebuah unit kedai anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus dan anggota bomba terpaksa memotong pintu jeriji untuk memasuki premis itu.

“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 5.17 pagi tadi dan pasukan menemui mayat mangsa lelaki dalam keadaan terlentang di dalam bilik air,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, ahli keluarga memaklumkan mangsa yang bisu dan mengalami masalah pembelajaran tinggal di dalam kedai itu berseorangan manakala bapanya Cheah Bung Huat, 59, hanya akan datang membuka kedai pada sebelah pagi.

Tambahnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihaknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI