fbpx

Konflik Palestin-Israel: Penduduk Gaza kecewa keputusan ICJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk membawa barangan mereka ketika berpindah dari bandar Khan Yunis di selatan Gaza kelmarin. - AFP

BANDAR GAZA – Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ke atas kekejaman tentera Israel terhadap penduduk Semenanjung Gaza kelmarin mencetuskan kekecewaan dalam kalangan penduduk wilayah itu, lapor laman berita Middle East Eye (MEE). 

Mahkamah yang berpangkalan di The Hague, Belanda itu memerintahkan supaya Rejim Zionis mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza, selain membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke wilayah itu.

Bagaimanapun, ia tidak mengarahkan Israel untuk menghentikan operasi ketenteraannya di Gaza, sesuatu yang amat diharapkan oleh ramai masyarakat dunia terutamanya penduduk Gaza.

Wartawan-wartawan MEE yang berada di Gaza berkata, walaupun kes yang dibawa oleh Afrika Selatan itu adalah sesuatu yang bersejarah dan penting, keputusan yang diumumkan sebenarnya sudah dijangka ramai rakyat Palestin.

“Mahkamah memberi Israel satu bulan lagi untuk terus membunuh, memindahkan dan membuat mereka kelaparan.

“Meskipun ICJ meluluskan kemasukan bantuan kemanusiaan, ia memberi peluang kepada Israel untuk terus memusnahkan penduduk Gaza sambil membekalkan mereka dengan sisa makanan, ubat dan barangan keperluan hidup penting,” kata seorang wartawan, Aseel Mousa.

Seorang lagi wartawan, Ruwaida Amer menambah, penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal dibiarkan berasa kecewa dan putus asa berikutan keputusan itu.

“Malangnya ketika perang berterusan, penduduk Gaza telah kehilangan semua harapan di dunia selepas berdiam diri dalam menghadapi jenayah yang telah berlaku selama lebih tiga bulan,” ujarnya.

Sementara itu, saluran televisyen Al Jazeera melaporkan, kebanyakan penduduk kecewa dengan keputusan ICJ, namun mereka tidak terkejut.

“Walaupun saya tidak mempercayai masyarakat antarabangsa, saya mempunyai sedikit harapan bahawa mahkamah (ICJ) akan mengarahkan gencatan senjata,” kata seorang penduduk, Ahmed al-Naffar.

Namun menurutnya, harapannya itu hancur berkecai apabila dia mendapat tahu mengenai ‘keputusan berjaga-jaga’ yang diumumkan dalam sesi mahkamah kelmarin.

“Mahkamah itu telah gagal,” katanya.

Walaupun keputusan ICJ adalah sah dari segi undang-undang, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh mahkamah dunia itu untuk memaksa Israel mematuhinya.

Menurut seorang wartawan MEE, Ahmed Sammak yang berasal dari Gaza, konsensus global terhadap jenayah Israel yang dilakukan Rejim Zionis itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Namun, katanya: “Israel tidak mendengar sebarang seruan untuk melakukan gencatan senjata atau menamatkan kebuluran. Justeru, apa yang boleh memaksa mereka berhenti sekarang?”

Dalam pada itu, di Ottawa, Kanada, seorang Ahli Parlimen, Salma Zahid meluahkan rasa kecewa dengan keputusan mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu yang tidak mengarahkan Israel melaksanakan gencatan senjata.

Namun, pemimpin wanita dari Parti Liberal itu berkata, beliau akan meminta kerajaan Kanada untuk mendesak Israel mematuhi langkah sementara bagi keputusan yang dibuat oleh ICJ, lapor laman berita National Post.

Sementara itu, badan pertubuhan Greenpeace dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, ia berasa kecewa kerana ICJ tidak mengarahkan gencatan senjata segera di Gaza.

“Kami mengulangi gesaan untuk melaksanakan gencatan senjata segera dan menyeluruh. Bantuan kemanusiaan besar-besaran dan segera mesti disampaikan tanpa halangan kepada penduduk Gaza,” ujarnya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI