MOSCOW – Ketua institut genetik Russia dipecat selepas menyatakan bahawa manusia pernah hidup selama berabad-abad dan jangka hayat manusia zaman moden jauh lebih pendek disebabkan dosa nenek moyang mereka.
Laman berita Huffpost melaporkan, punca Alexander Kudryavtsev dipecat oleh kementerian sains dan pendidikan tinggi tidak didedahkan, namun Gereja Ortodoks menggelarnya sebagai diskriminasi agama.
Kudryavtsev yang mengetuai Institut Genetik Umum Vavilov di Akademi Sains Russia, membuat kenyataan kontroversi itu semasa satu persidangan pada 2023.
Menurutnya, manusia telah hidup selama 900 tahun sebelum zaman Nabi Nuh, manakala dosa nenek moyang pada zaman itu telah menyebabkan penyakit genetik yang memendekkan jangka hayat manusia.
Laman berita Meduza melaporkan, Kudryavtsev juga mendakwa bahawa ‘keturunan manusia sehingga geneasi ketujuh bertanggungjawab atas dosa bapa mereka’.
Ketua suruhanjaya gereja Russia mengenai isu keluarga, Fyodor Lukyanov berkata, pemecatan Kudryavtsev atas alasan ‘kepercayaan agama dan kenyataan berkaitan kepercayaan itu telah melanggar etika komuniti saintifik’. – AGENSI