fbpx

Kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah mempertaut permuafakatan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (dua dari kiri) ketika menghadiri Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 malam tadi. - FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

PETALING JAYA – Kewujudan Kerajaan Perpaduan adalah hasil kebijaksanaan dan kewibaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menyelesaikan kemelut politik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kewujudan Kerajaan Perpaduan seterusnya berjaya mempertaut permuafakatan dan memungkinkan kestabilan politik di negara ini dikecapi.

Justeru, kata beliau, Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan hasil kebijaksanaan dan kewibaan Al-Sultan Abdullah bertekad untuk terus berusaha dan berbakti dengan sepenuh jiwa raga demi rakyat dan negara.

“Kewujudan konsep Raja Berperlembagaan dan peranannya dalam sistem demokrasi bercorak Westminster ternyata melonjak peri pentingnya terutama dalam merungkai mehnah dan kemelut politik yang berpanjangan di masa lalu.

“Berbekalkan kepercayaan ini dan keprihatinan terhadap rakyat tambah memperkuat iltizam Jemaah Menteri dalam memastikan negara ditadbir dengan baik demi mengangkat darjat negara serta tahap kesejahteraan rakyat.

“Insya-Allah, kerajaan bertekad untuk terus berusaha dan berbakti dengan sepenuh jiwa raga demi rakyat dan negara tercinta,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Al-Sultan Abdullah pada Februari tahun lalu menzahirkan penghargaan kepada seluruh Ahli Parlimen kerana menjadikan saranan Seri Paduka mewujudkan Kerajaan Perpaduan sebagai hala tuju bagi menjamin kestabilan politik dalam negara.

Ia susulan tiada parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada 19 November 2022.

Terdahulu, Anwar dalam hantaran sama memaklumkan, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menghadiri Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 malam tadi.

Menurut Perdana Menteri, beliau dalam sembah ucapan menzahirkan keyakinan bahawa seluruh rakyat merasai hikmah keadilan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam memastikan keamanan dapat dinikmati oleh semua pihak.

“Keprihatinan Tuanku dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap kebajikan rakyat jelata juga melangkaui batasan biasa antara raja dengan rakyat.

“Duli Tuanku telah menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sempurna melalui sifat-sifat yang merakyat serta istiqamah menyelami denyut nadi rakyat jelata dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan terus diutamakan dalam apa jua keadaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI