MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mendedahkan bahawa pasukannya sudah bersedia untuk menghadapi Newport County pada aksi pusingan Piala FA di Rodney Parade tengah malam ini.
Selepas kembali dari cuti rehat musim sejuk, Ten Hag berharap pasukannya kembali cergas dan mampu memberikan aksi terbaik untuk memburu kemenangan bagi melangkah lebih jauh ketika Piala FA dianggap satu-satunya peluang untuk United memenangi trofi musim ini.
Aksi kali ini menyaksikan United berdepan pasukan yang beraksi di Liga 2 yang merupakan divisyen ketiga saingan bola sepak England tanpa khidmat penjaga gol utama, Andre Onana yang sedang beraksi dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika selepas membuat 30 penampilan musim ini.
Situasi tersebut menyebabkan Ten Hag membuat keputusan memberikan peluang kepada penjaga gol keduanya, Altay Bayindir untuk membuat debut selepas menyertai United dari Fenerbahce pada musim panas lalu.
Selain itu, United juga dilapor bakal kembali mendapatkan khidmat Harry Maguire, Lisandro Martinez, Luke Shaw dan Casemiro yang pulih sepenuhnya, namun mungkin kehilangan Jonny Evans dan Marcus Rashford.
“Sesi latihan sebelum ini menyaksikan Rashford dan Evans mengalami demam dan saya harap mereka sempat pulih, tetapi kamu gembira menerima semula khidmat beberapa pemain tonggak yang lama cedera sebelum ini.
Mengulas mengenai kemungkinan United berdepan kelab kecil yang memiliki semangat berkobar-kobar, Ten Hag mengakui beliau sudah mempunyai pengalaman ketika bersama kelab lamanya.
“Ketika di Ajax, kami juga berdepan pasukan dari liga bawahan. Kami tidak akan memandang rendah keupayaan mereka, ia akan membuatkan kami berdepan kecewa,” ujarnya. – AGENSI