fbpx

Bukan dedah aib, hanya ceritakan insiden sebenar – Mizz Nina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SETAKAT ini, Mizz Nina tidak berniat membuat sebarang tuntutan ke atas bekas suaminya, Noh Salleh. Dia sekadar mahu bercerita perkara sebenar.

KHAMIS lalu, ibu kandung kepada Musa iaitu anak angkat kepada aktivis kemanusiaan, Mizz Nina yang mahu dikenali sebagai Athira (bukan nama sebenar), menafikan dakwaan telah memberi keizinan kepada penyanyi, Noh Salleh (bekas suami Mizz Nina) untuk mendapatkan hak jagaan terhadap Musa.

Athira sewaktu ditemui Pose mengakui, telah dimanipulasi dan dipergunakan lelaki itu, demi kepentingan sendiri bagi mendapatkan Musa yang dibawa keluar dari rumah Mizz Nina dengan bantuan seorang pengasuh.

Impaknya, sekitar tiga minggu lamanya Mizz Nina tidak dapat berjumpa dengan Musa sehinggalah kanak-kanak itu dikembalikan semula selepas terpaksa menggunakan saluran undang-undang.

Bantuan pengasuh

Bukan tujuan untuk mendedahkan aib sesiapa, Mizz Nina atau mesra disapa Nina, 44, hanya mahu berkongsi kejadian sebenar, memandangkan selama ini tidak pernah berkongsi isu kekeluargaan dalam media sosial.

“Semua orang kenal bahawa saya seorang yang sangat menjaga rahsia. Selepas kejadian itu berlaku, saya memang berdiam diri dan tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Selepas kami bercerai, saya tidak pernah mendedahkan apa-apa atau membuka aib sesiapa, terutama bekas suami. Tapi hari ini (Khamis lalu), saya mahu menerangkan situasi sebenar apa yang berlaku,” katanya.

Sambil menitiskan air mata, Nina memberitahu kejadian anaknya dilarikan dari rumah berlaku pada 19 Disember tahun lalu, ketika dia dalam penerbangan menuju ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.

“Musa dibawa keluar dari rumah saya pada 19 Disember 2023 ketika saya dalam perjalanan menuju ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.

“Bila saya selamat mendarat, saya diberitahu pengasuh bahawa Musa telah dibawa keluar dari rumah dan diserahkan kepada bekas suami (Noh Salleh). Musa dibawa keluar oleh pengasuh yang bekerja dengan saya sepenuh masa.

“Sehingga kini saya tidak dapat menjejakinya. Hilang,” kongsi Nina.

Selepas mengetahui Musa dibawa keluar, Nina terus mengambil penerbangan untuk kembali ke Malaysia dengan perasaan bimbang tentang keselamatan anaknya.

“Boleh bayangkan perasaan saya ketika itu? Selama lebih tiga minggu saya terpisah dengan Musa dan tidak tahu di mana dia berada. Saya tidak dapat berkomunikasi dengan Musa langsung.

“Bayangkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun, dibawa keluar dari rumah sendiri. Keadaan itu membuatkan saya trauma.

“Sebagai ibu, sudah tentu saya bimbangkan keselamatan anak saya.

“Selama lebih tiga minggu saya tidak mendengar khabar berita tentang Musa. Akhir sekali, apa yang boleh saya lakukan adalah dengan menggunakan saluran undang-undang,” katanya.

Dirancang?

Dakwa bekas penyanyi itu, apa yang menguatkan tuntutannya ke atas Musa adalah, dia memiliki semua dokumen berkaitan kanak-kanak itu, termasuk berkait undang-undang syariah untuk membawa perkara tersebut ke muka pengadilan.

“Itu yang membuatkan saya dapat kembali Musa selepas dia diambil dengan cara yang tidak benar,” kata Nina.

Nina percaya perbuatan yang dilakukan Noh telah dirancang dari awal dan hanya menunggu masa yang tepat untuk diambil Musa daripada jagaannya.

“Saya percaya dia telah merancang dan menunggu waktu yang sesuai untuk membawa keluar Musa ketika saya tiada di Malaysia.

“Sebelum dia melakukan perkara gila ini, dia telah merancang terlebih dahulu. Perkara itu membuatkan saya kesal, sebab Musa dibawa lari ketika saya tiada sehingga saya terpaksa melalui fasa trauma apabila berjauhan dengan anak saya selama lebih tiga minggu,” dedahnya.

Pada masa sama, Nina turut menafikan kenyataan Noh yang kononnya sukar dibawa berkomunikasi apabila melibatkan Musa.

“Tentang dakwaan Noh sukar untuk berkomunikasi dengan saya, itu tidak benar. Saya pernah tanya dia untuk berjumpa Musa.

“Mula-mula dia kata okey. Tapi kemudian cakap tidak boleh sebab sedang sibuk,” katanya.

Namun, Nina tidak menafikan ada mengelak daripada berkomunikasi dengan Noh memandangkan hubungan mereka bukan lagi mahram.

Mahram

“Dalam Islam sendiri, perkara itu salah. Kalau dia mahu berkomunikasi, sepatutnya dengan mahram saya iaitu suami (Essam Muhammad) atau bapa saya,” jelasnya.

Bersyukur kini Musa telah pun kembali ke pangkuannya, Nina bagaimanapun melahirkan rasa kesal apabila Noh melanggar perjanjian apabila bertindak berkongsi wajah kanak-kanak itu untuk tatapan umum.

“Syukur Musa telah kembali kepada saya. Namun, saya kesal dan bimbang apabila Noh melanggar perjanjian untuk tidak mendedahkan wajah Musa kepada umum.

“Macam-macam perkara boleh berlaku seperti penculikan dan sebagainya. Saya sangat bimbang dengan keselamatan Musa sekarang.

“Sebelum ini pun, saya tidak pernah berkongsi identiti Musa untuk tatapan umum. Kalau saya kongsikan sekali pun, saya tidak akan dedahkan wajahnya,” kata Nina.

Dalam pertemuan bersama Pose tempoh hari juga, Nina belum memutuskan sebarang tuntutan ke atas bekas suaminya, selain mahu berkongsi keadaan dan perkara sebenar tentang apa yang berlaku.

“Saya tidak pernah kongsikan tentang perkara ini. Jadi tujuan saya memberitahu perkara sebenar, adalah untuk menjelaskan keadaan sebenar apa yang berlaku,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI