PETALING JAYA – “Barulah berbaloi kena kecam jika rakyat dapat melihat sendiri tapak-tapak pertanian moden tumbuh bagai cendawan di seluruh negara.”
Demikian ulasan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berhubung kejayaan formula beliau mewujudkan pertanian moden untuk membasmi kemiskinan yang telah terbukti keberkesanan.
Menurut beliau, formula membasmi kemiskinan menerusi program Inisiatif Pendapatan Rakyat-Inisiatif Usahawan Tani (IPR-Intan) berjaya dibuktikan di beberapa tapak.
Katanya, amanah beliau kini adalah untuk segera meluaskan IPR-Intan dengan sasaran mewujudkan peluang kepada 20,000 peserta menjelang akhir 2025 di seluruh negara.
“Ini bersamaan peluang pekerjaan yang diwujudkan dengan membina 200 data centres (yang memerlukan pelaburan beratus bilion kerana kilang moden tidak menggunakan ramai pekerja),” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Rafizi berkata, sejak dilancarkan, program basmi kemiskinan melalui pendekatan IPR sering diperlekehkan dan menjadi bahan sindiran segelintir masyarakat.
Menurutnya, beliau memahami mengapa beberapa projek pertanian yang melibatkan peserta berpendapatan rendah tidak berjaya seperti yang dirancang sebelum ini.
Ujar beliau, faktor pertama adalah risiko operasi iaitu apabila tanaman diserang penyakit dan mutu tuaian tidak baik, manakala faktor kedua risiko pasaran apabila harga tidak menentu.
Kata beliau, permasalahan yang membawa kepada risiko ketiga adalah hasil yang dijana tidak dapat menampung kos buruh atau masa, kos baja dan operasi.
“Kesemua ini mendorong risiko terakhir, iaitu peserta cepat berputus asa. Akhirnya segala bantuan (modal, polybag untuk menanam, baja dan lain-lain) ditinggalkan selepas satu musim (atau belum pun satu musim).
“Pendekatan IPR Intan yang melihat satu tapak pertanian sebagai satu “kilang” cuba menyelesaikan semua risiko ini,” katanya.
Jelas beliau, menerusi IPR Intan, peserta menjadi pekerja yang menguruskan plot yang telah dibangunkan dengan kaedah pertanian moden dan diberi latihan.
Tambah beliau, jika mereka putus asa awal akan ada peserta baru menyambung projek berberkenaan seperti pekerja kilang baharu mengganti yang telah berhenti.
“Kontrak jualan telah diikat dengan pembeli pada harga tertentu, supaya peserta tidak perlu menjual sendiri hasil.
“Kos operasi telah dimasukkan di dalam keseluruhan perancangan kewangan, bukannya diberikan dalam bentuk modal dan baja kepada peserta.
“Peserta diberi jaminan menerima sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan setiap kali pusingan tanaman dengan elaun RM600 sebulan dalam dua hingga bulan pertama sebelum boleh dituai,” katanya.
Rafizi memaklumkan, selepas tapak IPR INTAN mula dituai, pendapatan bulanan purata yang dijana peserta didapati jauh lebih tinggi dari sasaran minimum RM2,000 sebulan.
Beliau malah berkata, julat tambahan pendapatan bulanan yang dijana bagi setiap kitaran empat bulan antara RM3,000 ke RM5,800.
“Kerajaan tidak memberi modal tunai atau baja/perkakas seperti sebelum ini. Kerajaan sediakan tapak pertanian moden (dari tanah kerajaan) yang telah dilengkapi sistem pengairan dan pembajaan moden.
“Tugas peserta ialah membentuk unit kelompok yang dibimbing oleh pasukan teknikal pertanian moden.
“Gaji median pekerja formal (bergaji bulanan) negara adalah RM2,600 (yang meliputi sebahagian besar pemegang diploma dan ijazah)
“Pendapatan tambahan hasil pertanian moden IPR Intan yang paling rendah (di tapak Putrajaya) RM3,000 sebulan iaitu lebih tinggi dari gaji median nasional,” katanya. – KOSMO! ONLINE