MANILA – Sembilan pejuang kumpulan militan Daesh, termasuk tiga suspek pengeboman penganut Katholik di selatan Filipina, terbunuh selepas bertempur dengan tentera.
Akhbar Arab News melaporkan, tentera melepaskan tembakan ke arah 15 anggota kumpulan Daesh yang bersembunyi di sebuah ladang di kawasan gunung dekat perbandaran Piagapo, selatan Filipina pada Khamis lalu.
Komander briged tentera, Jeneral Yegor Rey Barroquillo berkata, sembilan anggota Daesh terbunuh, manakala empat askarnya cedera termasuk dua yang dimasukkan ke hospital akibat kecederaan serius.
Tambah beliau, tiga daripada enam suspek yang terlibat dalam insiden pengeboman semasa upacara keagamaan penganut Katholik di bandar Marawi pada Disember 2023, adalah antara yang terbunuh.
“Daripada sembilan suspek, tiga individu terlibat secara langsung dalam pengeboman di selatan Filipina,” kata Barroquillo, merujuk kepada letupan di Universiti Negeri Mindanao (MSU) pada 4 Disember 2023 yang mengorbankan empat mangsa, manakala berpuluh-puluh yang lain cedera.
Menurutnya, tiga lagi suspek pengeboman masih diburu termasuk seorang bekas pelajar MSU yang didakwa dalang serangan itu.
Renjer Peninjau Tentera Darat yang terlatih dalam pertempuran hutan menyerang beberapa buah rumah di ladang tersebut. Sebilangan anggota Daesh mencari perlindungan di kediaman tersebut untuk mengelak tangkapan.
“Enam suspek bersenjata berjaya melarikan diri dan dalam penilaian kami, termasuk dalang serangan MSU,” jelas Barroquillo. – AGENSI