JOHOR BAHRU – Laluan sepanjang 35.5 kilometer (km) bermula dari Istana Bukit Serene hingga ke Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Senai ditutup pagi Rabu ini.
Penutupan jalan sehala itu adalah bersempena keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Istana Negara, Kuala Lumpur bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, laluan utama itu akan mula ditutup pada pukul 7.45 pagi dengan pergerakan konvoi Sultan Ibrahim dari Istana Bukit Serene dijangka bermula pada pukul 8 pagi.
“Pergerakan konvoi dijangka mengambil masa kira-kira satu jam menuju Hangar Diraja. Laluan akan dibuka semula sebelum pukul 9 pagi.
Beliau menasihatkan pengguna yang mempunyai urusan kerja atau sebagainya untuk keluar lebih awal sebelum laluan ditutup.
“Jika ada yang ingin menggunakan laluan tersebut, keluar lebih awal atau guna jalan alternatif.
“Hampir 1,200 anggota termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bertugas di sepanjang laluan bagi memastikan kelancaran perjalanan Sultan Johor dan keselamatan orang ramai,” katanya.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada Selasa ini.
Baginda akan mula bersemayam di Istana Negara mulai Rabu ini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun. – KOSMO! ONLINE