fbpx

Tun Daim akan didakwa Isnin ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Daim.

KUALA LUMPUR – Selepas isterinya didakwa minggu lalu, bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin pula akan didakwa pada Isnin ini.

Menurut kenyataan ringkas oleh Daim, 86, melalui peguamnya, beliau akan didakwa atas pertuduhan sama yang dikenakan terhadap isterinya, Toh Puan Na’imah Khalid.

“Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah merekodkan kenyataan daripada saya.

“Peguam saya juga telah dimaklumkan bahawa saya akan didakwa pada Isnin, 29 Januari ini mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu kesalahan tidak mendedahkan aset,” katanya.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan tidak mematuhi notis SPRM.

Bagaimanapun Na’imah, 67, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Sebelum ini, SPRM telah memulakan siasatan terhadap keluarga Daim sejak Februari tahun lalu rentetan daripada pendedahan Kertas Pandora.

Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen yang dikumpul oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists, ICIJ) yang mengandungi maklumat perbankan, cukai dan maklumat hartanah membabitkan pemimpin-pemimpin dunia, jutawan, ahli perniagaan dan selebriti.

Pada 21 Disember 2023, media melaporkan bahawa SPRM telah menyita Menara Ilham milik keluarga itu.

Pada 10 Januari lalu, Daim dan keluarga memfailkan semakan kehakiman mencabar tindakan SPRM menyiasat dan menyita aset mereka termasuk akaun-akaun bank dan kenderaan.

Oleh itu, Daim dan keluarganya memohon relif antaranya satu deklarasi bahawa SPRM dan pegawainya tidak mempunyai sebab munasabah untuk menyiasat kesemua pemohon mengikut Akta SPRM atau pengubahan wang haram.

Mereka turut memohon deklarasi bahawa semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM ke atas Daim dan keluarganya termasuk Menara Ilham adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Kesemua pemohon juga menuntut agar kesemua siasatan terhadap mereka dihentikan, memulangkan semula semua dokumen dan aset yang disita dan menyahbeku akaun-akaun bank termasuk akaun bank syarikat.

Daim dan keluarganya turut memohon satu perintah yang melarang pihak pendakwaan daripada mendakwa mereka di mahkamah.

Turut dimohon ialah ganti rugi am dan teladan, kos atas dasar indemniti penuh kepada pemohon-pemohon dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI