fbpx

Sorok ganja dalam jirat Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razlam menunjukkan rampasan ketulan ganja mampat yang dibalut menyerupai jongkong emas di IPD Timur Laut, hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

GEORGE TOWN – Polis berjaya membongkar taktik baharu sindiket pengedaran ganja mampat dalam bungkusan  menyerupai jongkong emas yang disembunyikan di dalam lubang kubur di sebuah kawasan perkuburan Cina di Estet Hong Seng, Pulau Tikus, Khamis lalu.

Rampasan ketulan ganja seberat 154,869.82 gram bernilai hampir RM500,000 itu dilakukan selepas menahan dua lelaki tempatan di dalam dua serbuan berasingan di tepi jalan berhampiran ladang tersebut bermula 24 hingga 25 Januari lalu.

Jarak tangkapan kedua-dua suspek berusia 35 dan 50 tahun itu adalah kira-kira 300 meter.

Difahamkan, ganja mampat yang disorok di dalam lubang kubur sedalam 60 sentimeter dan ditutupi dengan zink itu adalah yang pertama kali ditemui bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, operasi tersebut dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) berkaitan sindiket pengedaran ganja dan syabu, antara pukul 4 hingga 5 petang.

Menurutnya, hasil tangkapan suspek pertama pada 24 Januari lalu mulanya merampas satu peket lutsinar yang di dalamnya berisi daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 7.2 gram bernilai RM78.

“Dalam serbuan kedua, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 35 tahun dan merampas tujuh peket plastik lutsinar, setiap satu di dalamnya berisi bahan disyaki dadah syabu seberat 16.21 gram bersama dua balutan plastik lutsinar berwarna keemasan berisi ketulan mampat daun kering dengan berat 2,042 gram.

“Hasil soal siasat dan dipandu arah suspek kedua telah membawa ke sebuah pondok di dalam hutan perkampungan estet yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah ganja.

“Di situ, polis merampas dua lagi guni masing-masing berisi 30 dan 15 balutan plastik lutsinar dan kertas keemasan dengan setiap satu berisi daun-daun kering disyaki ganja beserta tiga bungkusan lutsinar juga berisi ketulan mampat ganja,” katanya pada sidang akhbar di IPD Timur Laut, sebentar tadi.

Beliau memberitahu, pada 25 Januari lalu, polis sekali lagi berjaya merampas 100 balutan lutsinar dengan kertas keemasan berisi ganja mampat di dalam lubang kubur di kawasan perkuburan lama berusia hampir satu abad di situ.

“Ini adalah hasil pandu arah suspek pertama berusia 50 tahun. Kesemua rampasan ganja itu dimasukkan ke dalam lubang sedalam 60 sentimeter, paras lutut.

“Kita masih menjalankan siasatan dari mana bekalan dadah itu diperoleh, namun ia dipercayai dari negara jiran termasuk hubungan kedua-dua suspek terbabit.

“Hasil siasatan lanjut, sindiket berkenaan aktif sejak awal Disember tahun lalu dan menyasarkan jualan untuk pasaran tempatan. Setiap satu balutan ganja mampat berharga RM3,100,” katanya suspek masing-masing ditahan reman selama enam dan tujuh hari di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI