HULU KELANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk pembangunan Zoo Negara.
Anwar berkata, Zoo Negara juga merima dana tambahan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh beberapa syarikat dan berjaya mengumpul jumlah sebanyak RM5 juta.
“Kita berterima kasih kerana syarikat-syarikat besar di negara kita kerana banyak beri dukungan melalui CSR, bagi kejayaan pemuliharaan dan juga pengawalan umum di Zoo Negara.
“Dengan adanya RM10 juta ini kita akan kawal dan adakan wakil daripada Menteri Besar Selangor dan kerajaan supaya dapat bekerjasama dengan jawatankuasa yayasan Zoo Negara supaya dapat kita baiki perancangan dan projek di Zoo Negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke – 60 Zoo Negara hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Anwar turut mencadangkan kepada Zoo Negara supaya mewujudkan satu ruang khas yang dinamakan sudut Madani.
“Saya harap dapat satu sudut yang indah dan khusus untuk mengangkat martabat Zoo Negara, dengan sudut khas Madani.
“Galakkan ibu bapa, guru-guru beri tumpuan apabila anak-anak melawat ada penerangan, jadikan Zoo Negara ini medan pendidikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE