fbpx

Pesara lesap lebih RM10 juta ditipu skim pelaburan kripto

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pesara wanita kerugian lebih RM10.45 juta selepas ditipu skim pelaburan tidak wujud berasaskan kripto.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh wanita berusia 80 tahun itu, semalam.

Kata beliau, mangsa mula menyertai skim pelaburan tersebut selepas dimasukkan ke dalam kumpulan sembang WhatsApp yang mempromosikan skim pelaburan berasaskan mata wang kripto dikenali sebagai ‘Accerx.com’.

“Melalui kumpulan itu, mangsa telah berurusan dengan seorang lelaki yang kononnya akan mendahulukan wang untuk pembelian kripto. Mangsa diminta untuk membuat bayaran balik setelah pembelian kripto tersebut berjaya.

“Terperdaya dengan helah yang digunakan, mangsa telah membuat 13 transaksi bayaran ke beberapa akaun bank atas nama lapan syarikat berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rentetan itu, Ramli berkata, mangsa mula sangsi dengan kesahihan pelaburan tersebut apabila masih diminta untuk membuat beberapa bayaran tambahan atas pelbagai alasan.

Menurut Ramli, jumlah keseluruhan wang yang dibayar adalah melebihi RM10.45 juta dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“JSJK memberi jaminan siasatan yang sewajarnya akan dilaksanakan bagi memastikan sindiket penipuan pelaburan ini dapat ditumpaskan.

“Orang ramai khususnya warga emas adalah dinasihatkan lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada tawaran pelaburan dalam talian yang dipromosikan di laman media sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI