SINGAPURA – Seorang wanita tergigit acuan keluli tahan karat ketika sedang menikmati makanan yang dibeli dari sebuah kedai pastri di Singapura, lapor portal berita Asiaone semalam.
Berdasarkan hantaran yang dimuat naik di platform media sosial Xiaohongshu, wanita itu memaklumkan bahawa dia telah membeli pastri tersebut dari kedai BreadTalk di Plaza Singapura pada 7 Januari lalu.
Wanita tersebut mendakwa giginya hampir patah ketika menggigit acuan tersebut semasa makan pada keesokan harinya.
Sebagai maklum balas, jurucakap BreadTalk berkata, kejadian itu berlaku disebabkan kesilapan oleh pasukan pekerja dapur semasa proses membakar pastri di kedai.
“BreadTalk memandang serius perkara ini dan kami segera mengeluarkan produk tersebut daripada semua cawangan kami,” katanya.
Wanita itu mendedahkan, syarikat berkenaan telah menawarkan barangan termasuk hamper hadiah, kad makanan dan bayaran untuk kos pergigian yang terpaksa ditanggungnya, namun dia menolak. – AGENSI