fbpx

Melaka juara takraw Piala Emas Khir Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Pulau Pinang menahan libasan daripada pemain Melaka dalam perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, hari ini. Foto SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Melaka mengakhiri penantian hampir 40 tahun untuk merangkul gelaran juara Piala Emas Khir Johari apabila menang pada edisi ke-57 kejohanan sepak takraw tertua di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.

Meskipun diperkuatkan dengan enam pemain kebangsaan, Melaka tetap diberi tentangan sengit oleh Pulau Pinang sebelum memuktamadkan kemenangan 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung, hari ini.

Regu A Melaka dibarisi trio kebangsaan, Syahir Rosdi (tekong), Mohd. Khairul Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) dan Mohd. Muqlis Borhan (apit kiri).

Mereka menang 21-18, 21-15 mengatasi Regu A Pulau Pinang, Ikhwan Syafiq Mohamad Fitri (tekong), Afiq Aiman Zairi (apit kanan) dan Irzan Nazri (apit kiri).

Pada set pertama, trio Syahir, Mohd. Khairul Zaman dan Mohd. Muqlis jelas mempamerkan karakter sang juara apabila mudah mendahului kiraan mata.

Pulau Pinang yang membuat rombakan apabila tidak menurunkan Muhamad Zulhilmi Abd. Hadi (apit kiri) bagi menggantikan Irzan Nazri cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan.

Namun, libasan Mohd. Khairul Zaman dan servis tepat menuju ke gelanggang lawan oleh Syahir menyukarkan Pulau Pinang untuk menafikan mata Melaka.

Sementara itu, Regu B yang menampilkan pemain bawah 21 tahun menyaksikan kebangkitan Pulau Pinang apabila trio Imran Mohd. Fazli (tekong), Aiman Aliff Roslan (apit kiri) dan Nabil Naufal M. Fuad (apit kanan) menang 22-20, 21-18.

Mereka ditentang Shakir Jamal (tekong), Arif Daniel Arifin (apit kanan) dan Raqib Effendi (apit kiri) selaku Regu B Melaka yang sesekali mendahului kutipan mata.

Bagaimanapun, keazaman trio Pulau Pinang yang tidak mahu menyerah kalah menyaksikan mereka berjaya menangguhkan kemenangan Melaka untuk ditentukan oleh regu terakhir.

Seperti diramal, Regu C Melaka yang turut dibarisi pemain kebangsaan, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri) tidak berdepan masalah.

Mereka menang 21-17, 21-16 mengatasi trio Pulau Pinang, Fakhrul Akhmal Narudin (tekong), Muhammad Zulhilmi (apit kiri) dan Haikal Jamil (apit kanan). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI