fbpx

MAIWP santuni warga asnaf di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Naim (dua dari kiri) bersama kakitangan MAIWP menyantuni asnaf di Perumahan Awam Seri Selangor, hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turun padang menerusi Program Ziarah Asnaf Siri 1/2024 bagi menyantuni golongan asnaf di Perumahan Awam Seri Selangor, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, program tersebut dijalankan secara rutin setiap bulan dan merupakan platform bagi menyantuni asnaf yang menerima bantuan MAIWP.

“Melalui program ziarah ini, saya dapat mengetahui kesusahan asnaf dalam menjalani kehidupan yang mencabar di Kuala Lumpur.

“Selain itu, saya juga mengambil peluang ini untuk mendekati penerima bantuan MAIWP untuk mengetahui sama ada bantuan yang diterima mencukupi atau masih memerlukan bantuan-bantuan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sidang akhbar Program Ziarah Asnaf Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Siri 1/2024 di pekarangan Perumahan Awam Seri Selangor, di sini hari ini.

Menurut beliau, program yang dijalakan di tiga rumah golongan asnaf tersebut merupakan program pertama yang dijalankan tahun ini.

Tambah Mohd. Na’im, menerusi program tersebut, pihak MAIWP berpeluang menyampaikan maklumat mengenai sebarang bantuan lain yang boleh dipohon oleh golongan asnaf.

“Saya mendapat maklumat, masih banyak bantuan MAIWP lain yang mereka tidak tahu.

“Contohnya, kita ada beri bantuan dalam bentuk dompet elektronik (e-wallet) sebanyak RM300 untuk membeli barangan keperluan asas.

“Jadi melalui program kali ini, kami dapat sampaikan maklumat tersebut kepada golongan asnaf ini dan minta mereka untuk pohon,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, sebanyak RM108 juta setahun diperuntukkan bagi menaikkan kadar bantuan baharu tersebut daripada RM150 ke RM300.

Bantuan yang bakal memanfaatkan lebih 30,000 asnaf di Wilayah Persekutuan itu diberi seiring situasi ekonomi semasa susulan kos sara hidup yang kian meningkat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI