MELAKA – Stigma masyarakat yang masih menebal terhadap fungsi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) menyebabkan ramai ibu bapa yang memilih untuk tidak menghantar anak istimewa ke pusat berkenaan.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Zulkifli Hanifah berkata, ibu bapa yang memiliki anak Orang Kurang Upaya (OKU) beranggapan pusat itu sama seperti pusat jagaan biasa.
Kata beliau, tanggapan itu tidak tepat kerana pelbagai aktiviti dijalankan untuk menerapkan kemahiran kepada anak OKU supaya mereka dapat menyesuaikan diri dalam komuniti .
“Mereka (ibu bapa) bukan tidak tahu tetapi simptom atau stigma masyarakat masih ada untuk tidak menghantar anak OKU ke sini. Mungkin disebabkan mereka kekurangan maklumat dan beranggapan PPDK sekadar pusat jagaan sahaja.
“Apa yang berlaku ketika ini adalah anak OKU tidak berada di sekolah atau di PPDK, bermakna mereka berada di tempat lain seperti rumah dan sebagainya. Anak OKU memerlukan kemahiran dan inilah yang diterapkan di PPDK.
“Apabila anak OKU kehilangan ibu bapa, mereka tidak dapat menyesuaikan diri dalam komuniti. Jadi saya menyeru masyarakat untuk menghubungi PPDK, fahami fungsi dan segera menghantar anak demi kebaikan mereka,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Van kepada PPDK Seri Murni, Kem Sungai Udang di sini, semalam.
Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin.
Terdahulu, PPDK Seri Murni menerima sebuah van penumpang jenis Nissan Urvan yang disumbangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melancarkan aktiviti harian pusat berkenaan. – KOSMO! ONLINE