SUNGAI PETANI – Polis dalam proses mengenal pasti sama ada rangka manusia yang ditemui dalam parit di ladang kelapa sawit di Sungkap Para, kelmarin, milik buruh yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 10 hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, identiti sebenar mangsa hanya akan diketahui melalui keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dalam tempoh terdekat ini.
“Mayat (rangka) mangsa masih berada di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini dan hanya akan dihantar untuk proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah esok.
“Selepas itu baru ujian DNA akan diambil daripada keluarganya dan keputusan itu nanti akan dapat menentukan siapakah mangsa yang sebenarnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata Zaidy, buat masa sekarang kes masih diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana siasatan mendapati mangsa terbabas ketika melalui selekoh itu ketika dalam perjalanan dari Sungai Lalang ke Bukit Selambau.
“Siasatan kita di lokasi menemui kesan gurisan pada bahu jalan yang dipercayai terhasil daripada kejadian itu. Penemuan kerosakan di bahagian hadapan motosikal turut menunjukkan mangsa terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit yang berkedalaman lebih kurang tiga meter di situ,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan seorang buruh yang hilang lebih 10 hari lalu ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila mayatnya tinggal separuh dari paras pinggang ke bawah dalam parit di sebuah ladang kelapa sawit di Sungkap Para kelmarin.
Mayat lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu ditemui pada pukul 6.30 petang oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi polis. – KOSMO! ONLINE