TERGOLONG dalam kategori ‘snakehead’, ikan haruan sememangnya merupakan antara spesies yang kerap diburu oleh kaki pancing.
Malah, bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan teknik ‘casting’, memburu ikan haruan dikatakan antara aktiviti latihan terbaik.
Ini kerana, ikan haruan merupakan antara spesies ikan pemangsa yang kerap membaham umpan dengan kasar.
Selain itu, spesies berkenaan mempunyai daya lawan kuat, sekali gus menjadi latihan kepada kaki pancing mengasah teknik ‘casting.
Atas dasar itulah, Muhammad Amirol Pi Ramli, 33, memilih untuk memburu ikan tersebut bagi meningkatkan kecekapannya dalam teknik tersebut.
“Biasanya, saya banyak memancing di kawasan pantai di sekitar Kuala Terengganu untuk memburu pelbagai spesies ikan pesisir pantai.
“Tetapi disebabkan musim tengkujuh yang melanda Terengganu dan beberapa negeri Pantai Timur ketika ini, arus air laut menjadi laju dan ombak tinggi.
“Keadaan ini sangat tidak sesuai untuk aktiviti memancing di pantai.
“Disebabkan memancing ini sudah menjadi hobi, jadi saya memilih untuk terus memburu ikan lain di kawasan darat seperti di sungai, tali air, parit, tasik dan kolam khususnya ikan haruan,” katanya.
Anak jati Kuala Terengganu yang kini bekerja dalam bidang teknologi maklumat itu berkata, antara lokasi tumpuan dan mudah untuk diakses adalah tali air berhampiran kawasan kediamannya.
Katanya, ikan haruan gemar berada di kawasan mempunyai arus perlahan atau tiada arus terutama yang mempunyai rumput dan semak.
“Haruan sebenarnya merupakan antara ikan paling popular di Malaysia kerana sifatnya yang ganas dan senang untuk diburu.
“Malah, ikan haruan sangat mudah untuk ditemui tidak kira apa musim sekali pun, sama ada tengkujuh ataupun kemarau.
“Bagi kawasan yang lebih kecil dan cetek, saiz ikan haruan yang kerap ditemui mungkin sekitar sekilogram dan ke bawah bagi seekor.
“Manakala, bagi kawasan yang lebih dalam seperti kolam dan tasik, saiznya boleh mencecah sehingga melebihi tiga kilogram seekor,” ujarnya.
Jelasnya lagi, bagi memburu ikan haruan, dia kerap menggunakan teknik ‘casting’ dengan set joran aksi ringan dan sederhana, namun bergantung kepada lokasi.
Bagi umpan pula, dia lebih gemar menggunakan umpan tiruan katak lembut atau ‘soft frog’ bagi memudahkannya melihat aksi sambaran di atas permukaan air.
Sekiranya memancing di kawasan paras air yang dalam pula, Muhammad Amirol akan menggunakan plastik lembut atau ‘soft plastic’.
“Jika memancing di kawasan parit atau tali air, biasanya saiz ikan yang saya dapat hanyalah sekitar sekilogram atau ke bawah seekor.
“Kalau dapat banyak, saya akan jual kepada mereka yang ingin membeli. Jika sedikit, saya akan bawa pulang untuk dijadikan hidangan buat keluarga dan dibahagikan kepada rakan serta jiran.
“Harga ikan haruan di pasaran tidaklah terlalu mahal, antara RM10 hingga RM15 sahaja bagi sekilogram jika dibeli terus daripada pemancing.
“Bagaimanapun, jika di pasar, ia boleh mencecah sehingga RM30 sekilogram terutama bagi ikan haruan hidup,” katanya.
Jika berkelapangan, dia juga akan memburu ikan haruan untuk dijadikan sumber pendapatan tambahan.
Jelasnya, ikan haruan mempunyai ramai penggemarnya kerana isinya dikatakan mampu menjadi penyembuh kepada beberapa jenis penyakit terutama luka pada kulit.