ABIDJAN – Jurulatih Nigeria, Jose Peseiro sudah mempunyai strategi untuk menghukum Cameroon menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2023 di Stadium Felix Houphouet Boigny awal pagi esok.
Menurutnya, Super Eagles sedang merencana percaturan terbaik untuk memastikan benteng pertahanan mereka kebal tidak dibolosi sambil mengharapkan ketajaman penyerang Napoli, Victor Osimhen merobek gawang Cameroon.
“Tanggungjawab saya adalah memilih cara terbaik untuk memenangi perlawanan ini. Saya pilih cara berbeza dan pemain-pemain juga mempercayainya.
“Kami tidak boleh bolos kerana kami percaya mampu menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol ke atas mana-mana lawan. Kami akan gunakannya untuk aksi bertemu Cameroon nanti,” kata Peseiro.
Pengendali berusia 63 tahun itu menjadikan Senegal sebagai contoh terbaik kerana mereka hanya menjaringkan satu gol dalam tiga perlawanan pertama sebelum menjulang trofi pada edisi AFCON 2021.
Sementara itu, bekas kapten Republik Demokratik Congo, Gabriel Zakuani menjangkakan Osimhen mampu menyinar menentang Cameroon yang akan menjadi satu pertemuan agresif antara kedua-dua pasukan.
“Nigeria dan Cameroon saling membenci antara satu sama lain. Ini satu perlawanan yang menarik, tetapi saya percaya jika Osimhen dapat menjaringkan gol, dia pastinya akan sukar dikawal,” jelas Zakuani.
Sebagai rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu sesama sendiri sebanyak sembilan kali dengan lima kemenangan menjadi milik Nigeria biarpun pertemuan terakhir dalam aksi persahabatan tiga tahun lalu berkesudahan seri tanpa jaringan. – AGENSI