TELUK GUANTANAMO – Juri tentera di Teluk Guantanamo, Cuba, menjatuhi hukuman penjara tambahan lima tahun ke atas dua rakyat Malaysia kerana terlibat dalam insiden pengeboman di Bali, Indonesia pada 2002, lapor akhbar The New York Times.
Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep, dijatuhi hukuman penjara 23 tahun atas pembabitan mereka dalam konspirasi berhubung kes tersebut yang telah membunuh 202 orang.
Kedua-dua mereka bagaimanapun mungkin akan dibebaskan pada 2029 di bawah satu perjanjian rahsia dan dengan kredit hukuman.
Mohammed Farik dan Mohammed Nazir telah ditahan oleh Amerika Syarikat (AS) sejak musim panas 2003, bermula dengan tiga tahun di penjara rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA), di mana mereka diseksa.
Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan jenayah perang minggu lalu dan kini ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo.
Kira-kira 12 ahli keluarga mangsa yang terbunuh dalam serangan di Bali menghabiskan masa selama seminggu dengan penuh emosi di mahkamah tentera tersebut dan memberi keterangan mereka.
Juri yang terdiri daripada lima pegawai tentera AS, bersidang untuk memutuskan hukuman penjara antara 20 hingga 25 tahun. Namun, ia diputuskan kepada 23 tahun selepas berbincang selama kira-kira dua jam pada semalam.
Seorang pegawai kanan Pentagon dilaporkan mencapai persetujuan rahsia dengan defendan sepanjang musim panas lalu bahawa mereka akan dijatuhi hukuman penjara sehingga enam tahun lagi.
Sebagai ganti kepada hukuman yang diringankan, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir dikehendaki memberikan keterangan yang mungkin digunakan pada perbicaraan melibatkan seorang banduan dari Indonesia yang dikenali sebagai Hambali.
Dia dituduh sebagai dalang pengeboman di Bali dan bekas pemimpin gerakan Jemaah Islamiyah.
Sementara itu, Hakim Tentera AS, Leftenan Kolonel Wesley A. Braun memutuskan Mohammed Farik dan Mohammed Nazir boleh dibebaskan dalam tempoh lima tahun selepas mengurangkan 311 hari daripada hukuman Mohammed Farik.
Sebanyak 379 hari turut dikurangkan untuk Mohammed Nazir berikutan pendakwa terlepas tarikh akhir mahkamah untuk menyerahkan bukti kepada peguam bela ketika menyediakan kes itu.
“Perjanjian praperbicaraan mempertimbangkan kemungkinan penghantaran pulang Mohammed Nazir sebelum hukuman selesai,” kata peguamnya. – AGENSI