PETALING JAYA – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyaksikan perubahan struktur program akademik dibuat secara besar-besaran.
Ia susulan tindakan UPSI mengadakan Pelataan Semakan Kurikulum Program Akademik yang dibentangkan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff pada 17 Mac 2022 lalu berkaitan agenda keempat Agenda Pemerkasaan UPSI yang menyasarkan kepada semakan kurikulum secara total.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli berkata, antara perubahan terlibat adalah penetapan bahasa asing sebagai elemen wajib Elektif Terbuka yang perlu dipenuhi oleh pelajar sarjana muda mulai sesi akademik 2023/2024 (A231).
Beliau berkata, antara bahasa yang ditawarkan sebagai Elektif Terbuka kepada semua pelajar UPSI kini adalah Bahasa Arab, Mandarin, Perancis, Jerman, Jepun, Iban, Kadazan-Dusun, Sepanyol, dan Tamil.
Katanya, setiap bahasa asing ini ditawarkan dengan tiga tahap dan pelajar wajib mengikuti ketiga-tiga tahap tersebut sepanjang pengajian di universiti.
“Penguasaan bahasa baru emerlukan pemahaman mendalam tentang struktur bahasa dan tatabahasa. Jadi, ia juga akan meningkatkan kemampuan pemikiran analitikal dan intelektual mahasiswa apabila mula meneroka bidang pekerjaan kelak.
“Usaha ini selari dengan usaha tenaga pengajar di Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) yang berjaya menghasilkan Sound and Vocabularies Kit (SOVO Kit) pada 20 Julai 2022.
“Aplikasi itu dapat membantu pelajar menguasai kosa kata dan sebutan dalam bahasa asing pada peringkat asas dan seterusnya akan dibangunkanberperingkat dalam bentuk frasa serta ayat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Dekan FBK, Prof Madya Dr Mazura@Mastura Muhammad, sehingga kini FBK menawarkan kursus Ijazah Sarjana Muda Bahasa Kadazan- Dusun dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Iban. – KOSMO! ONLINE