PETALING JAYA – “Saya pernah bermimpi Malaysia layak ke Piala Dunia, jadi untuk kalahkan Korea Selatan, apalah sangat,”
Itulah kata-kata Lee Seng Foo, 36, salah seorang rakyat Malaysia yang sanggup membelanjakan lebih RM5,000 untuk terbang ke Qatar bagi menyaksikan sendiri perlawanan antara pasukan tanah air menentang Korea Selatan, semalam.
Seng Foo yang bekerja sebagai perunding digital berkata, penat jerih dia mengumpul duit sejak Oktober dua tahun lalu ternyata berbaloi apabila menyaksikan tiga butir gol disaksikan depan matanya.
Ujarnya yang menetap di Petaling Jaya, dia tidak dapat menahan air mata apabila melihat Romel Morales menyamakan kedudukan dengan menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan minit ke-115.
“Saat-saat akhir itu sangat mendebarkan sebab kita tidak tahu bilakah pengadil akan tiupkan wisel. Bila gol ketiga dijaringkan memang saya terus menangis kegembiraan. Perasaan lihat secara ‘live’ memang lain.
“Saya sangat-sangat puas hati datang ke sini (Qatar). Walaupun tersingkir, tapi pasukan Malaysia kalah bermaruah. Dari sebelum saya datang lagi saya tahu pasukan Malaysia akan menang.
“Kalau jangka kalah buat apa bazir duit saya nak datang jauh-jauh. Saya pernah bermimpi Malaysia masuk Piala Dunia, jadi untuk lawan Korea Selatan apalah sangat,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Sejak semalam, gambarnya memegang bendera Malaysia berlatar belakangkan Stadium Al Janoub tular di media sosial sehingga mendapat lebih 4,000 ulang ciap.
Dalam gambar yang dimuat naik, Seng Foo turut memberitahu jumlah perbelanjaannya untuk menyaksikan perlawanan bersejarah itu sekali gus membuatkan orang ramai rasa terharu melihat kesungguhannya.
Perbelanjaan itu katanya, termasuklah tiket perlawanan, penerbangan dan penginapan sepanjang berada di sana selama tiga hari sehingga esok (Sabtu).
Sementara itu, Seng Foo yang baru sahaja tiba di Qatar berseorangan pada tengah hari semalam berkata dia tidak kekok malah mengenali ramai kawan baru terdiri daripada ribuan penyokong Malaysia.
“Sebenarnya saya rancang nak tengok perlawanan Malaysia dan Bahrain, tetapi harga tiket penerbangan terlampau mahal.
“Jadi saya datang menyaksikan sendiri perlawanan menentang Korea Selatan. Bila datang sini, kenal ke tak kenal semua rakyat Malaysia beri sokongan untuk pasukan negara. Semuanya sama.
“Saya suka bersikap positif apabila memberikan sokongan kepada pasukan negara. ‘That’s how I see things’ (macam itu saya lihat keadaan). Kalau esok lawan Argentina pun, saya percaya kita akan menang,” ujarnya.
Terdahulu, Harimau Malaya mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih keputusan seri 3-3 ke atas Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 malam tadi (waktu Malaysia).
Pada perlawanan di Stadium Al Janoub itu, skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon mengekalkan benteng ampuh dalam kesebelasan utama terdiri daripada Dion Cools, Shahrul Saad dan Dominict Tan.
Keputusan tersebut menyaksikan Korea Selatan kekal dengan kedudukan naib juara Kumpulan E dengan Bahrain muncul juara apabila menewaskan Jordan 1-0. – KOSMO! ONLINE