PETALING JAYA – Ketangkasan penjaga gol utama pasukan kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi ketika menyelamatkan gawang Malaysia malam tadi membuatkan ramai terpegun termasuklah rakyat Korea Selatan.
Namun bukan sahaja ketangkasannya malah wajah pemain berusia 27 tahun itu juga dipuji kacak oleh gadis-gadis Korea yang melihat perlawanan tersebut.
Dalam satu ciapan yang tular di media sosial hari ini, kelihatan beberapa rakyat Malaysia menterjemahkan soalan-soalan gadis-gadis Korea mengenai Ahmad Syihan.
“Wow seriuslah penjaga gol itu. Dahlah kacak pandai gila dia ‘block’. Son Heung-min punya sepakan penalti pun dia dapat agak.
“Lee Kang In punya ‘free kick’ susah kot nak ‘block’ tapi dia cuba juga guna tangan dia,” komen gadis Korea berkenaan.
Susulan itu ramai rakyat Malaysia terhibur melihat pujian tersebut dan menganggap bapa anak satu itu merupakan sebuah ‘permata’ yang perlu disimpan.
“Amboi, awek Korea dah mula ‘usya’ Syihan rupanya,” komen Ron.
“Saya ‘on the way’ buat rambut macam Syihan, harap-harap dapat lepas Imigresen Korea,” komen Faris.
“Mula-mula mereka (gadis Korea) cakap Arif Aiman kacak. Kemudian Syihan pula. Haa siapa lagi lepas ni? Daniel Ting? Dominic Tan? Habislah wanita Malaysia banyak saingan lepas ni,” komen Mira.
Terdahulu, Harimau Malaya mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih keputusan seri 3-3 ke atas Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 malam tadi (waktu Malaysia).
Pada perlawanan di Stadium Al Janoub itu, skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon mengekalkan benteng ampuh dalam kesebelasan utama terdiri daripada Dion Cools, Shahrul Saad dan Dominict Tan.
Keputusan tersebut menyaksikan Korea Selatan kekal dengan kedudukan naib juara Kumpulan E dengan Bahrain muncul juara apabila menewaskan Jordan 1-0. – KOSMO! ONLINE