PETALING JAYA – Herbalife pengeluar produk penjagaan kesihatan, melihat komuniti perniagaan akan terus berinisiatif dan menjadikan segala pengalaman tahun lalu sebagai iktibar untuk menjadi lebih berjaya pada tahun ini.
Pengarah Kanan/pengurus besar Herbalife Malaysia dan Singapura, Steven Chin berkata, komuniti perniagaan perlu mengambil iktibar daripada pengalaman tahun lalu dan mengguna pakai apa yang dipelajari dalam cabaran yang mungkin akan dihadapi tahun depan.
Menurut beliau, usahawan paling berjaya akan sentiasa mempelopori inovasi, mencari cara baharu untuk membina hubungan dengan pelanggan dan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.
“Tahun ini adalah masa terbaik untuk mencorakkan masa depan kita dengan penuh yakin,” katanya dalam kenyataan yang menyenaraikan beberapa tips kepada komuniti perniagaan untuk berdepan dengan cabaran perniagaan pada tahun ini.
Chin menjelaskan, antara langkah positif yang perlu diambil oleh golongan usahawan adalah mereka perlu bergerak tangkas dan mengekalkan sikap positif terhadap cabaran yang dihadapi.
Tambah beliau, banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia telah mencari cara untuk mempelopori inovasi dan memastikan perniagaan mereka terus beroperasi dan berkembang maju, jadi tiada sebab bagi mereka untuk tidak mencapai pertumbuhan yang baik pada tahun baru ini.
Komuniti perniagaan juga perlu mengimbas kembali apa yang berkesan pada tahun 2023 dan pelbagai persoalan perlu dijawab, antaranya adalah adakah peniaga telah menemui cara untuk mengurangkan kos atau menyelaraskan proses, adakah anda telah menambah baik perkhidmatan pelanggan dengan menyediakan penyelesaian teknologi dan adakah anda telah menemui cara yang baharu dan inovatif untuk berhubung dengan lebih ramai pelanggan.
Beliau juga mengingatkan agar peniaga tidak lupa untuk membuat perancangan kerana melalui strategi yang betul meskipun ia adalah sebuah syarikat bersaiz kecil boleh mendapat manfaat daripada usaha yang positif itu.
“Luangkan masa untuk menulis matlamat bagi perniagaan anda pada 2024 dan juga menggariskan tindakan yang munasabah untuk mencapai matlamat tersebut.
“Tulis apakah sumber yang anda perlukan untuk mencapai objektif dan menetapkan jadual untuk mencapai matlamat tersebut.
“Apabila selesai, jangan hanya simpan dokumen tetapi kongsi dengan pasukan anda,jangan lupa untuk semak semula setiap suku tahun untuk melihat di mana anda telah mencapai dan terlepas sasaran yang ditetapkan untuk matlamat ini,” ujarnya.
Selain itu, usahawan juga diminta untuk mencari cara baharu untuk mengendalikan perniagaan masing-masing dan mereka juga perlu menghargai pelanggan masing-masing dengan mengucapkan terima kasih kepada mereka.
Jelas beliau, peniaga juga boleh meminta mereka berkongsi matlamat mereka dan bertanya bagaimana anda boleh membantu misi tersebut.
“Sebagai pemilik perniagaan kecil, anda boleh berhubung dengan mereka yang menjadi pelanggan perniagaan anda secara terus. Anda seharusnya meluangkan masa untuk berhubung secara positif untuk mengeratkan lagi hubungan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE